Proton X70 SE dilancarkan – RM116,800, hanya 2,000-unit, warna biru, rim 19-inci unik, kulit Nappa hitam

Proton X70 SE dilancarkan – RM116,800, hanya 2,000-unit, warna biru, rim 19-inci unik, kulit Nappa hitam

Selepas pengumuman dan teasernya disiarkan, hari ini Proton X70 Special Edition (SE) secara rasminya telah dilancarkan pada pasaran Malaysia. Seperti yang diketahui sebelum ini, versi istimewa ini dihasilkan hanya 2,000-unit berasaskan varian Premium 2WD dan diberikan pelbagai perincian unik.

Proton X70 SE ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM116,800, termasuk pengecualian cukai jualan oleh kerajaan sehingga hujung tahun ini. Selepas 31 Disember, model ini akan dijual pada harga RM7,000 lebih mahal iaitu RM123,800. Ia juga diberikan perlindungan waranti selama lima tahun, tanpa had perbatuan.

Berbanding varian Premium 2WD yang dijual pada harga RM113,100, model SE ini adalah RM3,700 lebih mahal. Malah ia turut RM1,000 lebih mahal berbanding varian tertinggi Premium X (RM115,800) yang diberikan bumbung panaromik.

Proton X70 SE dilancarkan – RM116,800, hanya 2,000-unit, warna biru, rim 19-inci unik, kulit Nappa hitam

Hanya dua warna badan ditawarkan untuk X70 SE ini. Yang pertama adalah Ruby Red sama seperti yang ditawarkan X70 biasa, manakala satu lagi adalah Ocean Blue. Warna biru laut ini tidak pernah ditawarkan pada mana-mana varian X70 sebelum ini, dan ia sama seperti 37-unit X70 Exclusive Edition (EE) yang telah dilancarkan di Brunei Jun lalu.

Model ini juga sebenarnya menerima tema warna badan luaran dua tona dengan cermin sisi, spoiler belakang dan juga bumbung yang diberikan kemasan hitam. Konsep yang sama sebelum ini telahpun diterapkan pada X70 Merdeka Edition iaitu model yang dihasilkan 62 unit (sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-62 tahun) pada 2019. Ia kemudiannya diberikan emblem SE yang dilekapkan pada pintu tailgate belakang.

Satu lagi perincian istimewa pada bahagian luaran X70 SE ini adalah rim 19-inci yang dipadankan. Walaupun diameternya masih sama seperti X70 Premium 2WD, rekaannya adalah lebih unik dan tidak pernah ditampilkan pada model Proton sebelum ini, sebaliknya diambil dari Geely Boyue Pro.

Proton X70 SE dilancarkan – RM116,800, hanya 2,000-unit, warna biru, rim 19-inci unik, kulit Nappa hitam

Pada bahagian dalaman, upholsteri kulit Nappa X70 SE hadir dalam kemasan hitam bersama serlahan jahitan benang putih dan merah, berbanding kulit Nappa berwarna perang pada X70 Premium dan Premium X 2WD. Roda stereng model ini juga menerima jahitan benang putih, serta diberikan satu set karpet lantai istimewa dengan sulaman logo SE.

Bagi perician lain, ia dibawa terus dari X70 Premium 2WD. Ini termasuk lampu hadapan LED projektor dengan lampu nyalaan siang LED, lampu kombinasi belakang LED, lampu kabus hadapan LED, pengelap cermin dengan penderia hujan, sistem kunci pintar serta pintu tailgate berkuasa dengan operasi tanpa sentuhan.

Manakala pada bahagian kabin ia menerima paparan instrumen LCD tujuh-inci, butang penghidup enjin, sistem pendingin hawa dua-zon automatik dengan liang kabin belakang dan sistem penyegar udara, cermin pandang belakang auto-dimming lampu bendul pintu dan selamat datang, larasan berkuasa untuk lumbar pada tempat duduk pemandu dan larasan berkuasa empat hala untuk tempat duduk penumpang hadapan (dengan suis tambahan pada bahagian bahu).

Untuk sistem infotainmen pula, X70 SE diberikan skrin infotainment lapan-inci dengan arahan suara “Hi, Proton”, streaming muzik dalam talian, navigasi, hubungan telefon pintar, Bluetooth dan hotspot Wi-Fi 4G. Ia dihubungkan kepada sembilan pembesar suara termasuk subwoofer.

Aplikasi Proton Link turut dibekalkan bagi memantau status kenderaan serta memberikan fungsi kawalan jauh untuk sistem seperti tingkap berkuasa.

X70 SE ini menerima sistem keselamatan standard seperti enam-beg udara (hadapan, sisi dan tirai), cagak tempat duduk kanak-kanak di belakang dengan cangkuk atas, sistem brek ABS bersama EBD dan BA, sistem Brake Hold, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Kawalan Traction, Bantuan Mula Mendaki (HHA), Bantuan Menurun Bukit (HDC) dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS).

Proton X70 SE dilancarkan – RM116,800, hanya 2,000-unit, warna biru, rim 19-inci unik, kulit Nappa hitam

Ia juga diberikan sistem keselamatan tambahan yang sama seperti varian Premium 2WD termasuk Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS), empat penderia parkir hadapan, kamera 360-darjah, serta sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS) merangkumi Brek Kecemasan Automatik (AEB), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Cruise Control Adaptif (ACC), Amaran Keluar Lorong (LDW), Sistem Pemantau Titik Buta (BLIS), Sistem Amaran Bukaan Pintu (DOW) dan Kawalan Lampu Tinggi Pintar (HBC).

Tiada perubahan sistem mekanikal pada X70 SE ini, di mana ia masih menerima enjin 1.8 liter empat silinder turbo menghasilkan 184 PS (181 hp) dan tork maksima 300 Nm. Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, memacu hanya roda hadapan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required