Proton X70 SE akan dilancarkan di M’sia 22 Julai ini

Proton X70 SE akan dilancarkan di M’sia 22 Julai ini

Proton akhirnya telah mengesahkan bahawa model edisi istimewa, X70 Special Edition (SE) akan dilancarkan secara rasmi pada pasaran tempatan pada 22 Julai ini. Ia diumumkan menerusi laman Facebook rasmi mereka, dan seperti amalan norma baharu sekarang, pelancaran tersebut akan diadakan secara maya bermula pada pukul 11 pagi hari tersebut.

Anda juga sudahpun boleh mendaftarkan minat secara atas talian jika berminat terhadap model ini, namun harga SUV tersebut hanya akan didedahkan ketika pelancarannya nanti. Proton X70 SE ini diasaskan dari varian Premium 2WD dan hanya dihasilkan sebanyak 2,000 unit. Dari segi spesifikasi, ia adalah hampir sama dengan 37 unit Proton X70 Exclusive Edition (EE) yang telah dilancarkan di Brunei Jun lalu.

Model SE ini akan menerima pilihan warna Ocean Blue seperti model EE di Brunei, yang tidak terdapat dalam pilihan X70 biasa. Namun untuk SE di Malaysia ini, ia juga akan ditawarkan dengan pilihan warna badan Ruby Red.

Selain dari warna, komponen seperti cermin sisi, spoiler belakang, dan bumbung X70 SE ini akan menerima kemasan hitam bagi memberikan imej dua-tona, lebih kurang sama seperti 62 unit X70 Merdeka Edition yang dilancarkan pada Hari Kemerdekaan 2019.

Perincian-perincian unik lain yang turut diberikan pasa model istimewa ini termasuk emblem SE pada pintu tailgate belakang, dan juga rim 19-inci dengan rekaan sama seperti Geely Boyue Pro.

Pada bahagian dalaman pula, ia diberikan karpet lantai dengan lencana SE, upholsteri kulit Nappa hitam (warna perang pada model Premium dan Premium X) bersama serlahan jahitan benang putih dan merah, serta roda stereng yang turut diberikan jahitan benang putih.

Tiada perubahan sistem mekanikal pada X70 SE ini, di mana ia masih menerima enjin 1.8 liter empat silinder turbo menghasilkan 184 PS (181 hp) dan tork maksima 300 Nm. Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, memacu hanya roda hadapan.

GALERI: Brosur Proton X70 SE yang bocor

GALERI: Proton X70 Exclusive Edition pasaran Brunei

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required