Yamaha MT-09 ditawarkan dalam warna baru – RM55k

Yamaha MT-09 ditawarkan dalam warna baru – RM55k

Yamaha MT-09 versi baru yang dilancarkan November tahun lalu kini ditawarkan kepada pasaran dalam dua warna baru, iaitu Cyan Storm dan Tech Black. Harganya masih sama seperti waktu pelancaran tahun lepas, iaitu RM54,998 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

Pertama kali didedahkan kepada dunia pada tahun 2020, MT-09 baru ini melibatkan beberapa perubahan berbanding model sebelumnya, dengan yang utama adalah pada bahagian penampilan bersama lampu hadapan LED lebih unik dan lampu belakang yang lebih kemas. Di sebalik panel badan itu juga Yamaha menggunakan kerangka aluminium baru yang lebih tegar untuk memberikan lebih stabiliti dan karekter pemanduan dinamik.

Enjinnya adalah sama seperti Tracer 9 2021, iaitu unit tiga silinder 890 cc, yang berkemampuan 119 hp pada 10,000 rpm dan 93 Nm tork pada 7,000 rpm. Selain kuasa yang lebih tinggi berbanding model sebelumnya, enjin ini turut dipertingkat untuk mematuhi tahap emisi Euro 5 manakala muncung suntikan bahan api diperelok untuk memberikan lebih penjimatan bahan api.

Yamaha MT-09 ditawarkan dalam warna baru – RM55k

Transmisi adalah unit enam kelajuan, dan klac jenis A&S dilaras kembali untuk memadankannya dengan kuasa baru enjin. Kemudian, penukar gear quickshifter yang datang standard pada motosikal ini turut dipertingkat untuk memberikan penukaran naik dan turun gear yang lebih pantas serta lancar.

Di hadapan penunggang kini terletak panel paparan TFT berwarna 3.5 inci baru yang boleh memaparkan pelbagai informasi termasuk kedudukan gear dan operasinya boleh dikawal menggunakan butang di bahagian kiri pemegang.

Peningkatan elektronik tidak terhenti di situ kerana MT-09 2021 kini dilengkapi dengan unit pengukur inertia (IMU) 6-axis untuk memberikan input kepada sistem Traction Control (tiga mod), Slide Control System (SCS), Front Wheel Lift Control System (LIF) dan Brake Control System (BC).

Suspensi MT-09 2021 masih lagi menggunakan fork 41 mm serta monoshock yang boleh dilaras, tetapi ia telah ditala semula untuk menyesuaikannya dengan casis serta lengan ayun baru. Pada bahagian brek, di hadapan ia kini menggunakan pam utama radial untuk menghantar tekanan minyak kepada set berkembar angkup empat piston dan cakera 298 mm. Di belakang menggunakan cakera 245 mm dan angkup satu piston.

Jika anda lihat lebih terperinci, rekaan rim 17 inci MT-09 ini juga berlainan. Bukan setakat rekaan, ia juga adalah 700 gram lebih ringan sekaligus memperbaiki kawalan motosikal dan kecekapan bahan api. Tayar bersaiz 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang.

Kelengkapan lain pada MT-09 2021 adalah seperti tangki bahan api 14 liter, berat keseluruhan 189 kg, tinggi tempat duduk 825 mm dan jarak dari tanah 140 mm. Jarak roda untuk model baru ini juga bertambah 30 mm menjadikannya 1,430 mm.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required