Toyota Gazoo Racing Festival musim kelima pusingan kedua – Race 2; aksi perlumbaan basah mendebarkan

Toyota Gazoo Racing Festival musim kelima pusingan kedua – Race 2; aksi perlumbaan basah mendebarkan

Selepas aksi Race 1 yang memaksa pelumba bertahan pada suhu yang sangat panas pada hari Sabtu, Race 2 untuk pusingan kedua musim kelima perlumbaan one make Vios Challenge yang diadakan sempena Festival Perlumbaan Toyota Gazoo Racing yang berlangsung semalam pula diadakan dalam keadaan hujan lebat untuk kategori Super Sporting (profesional) dan Rookie (untuk bakat-bakat muda).

Manakala perlumbaan dalam kategori Sporting (amatur) dan juga Promotional (untuk selebriti) dilangsungkan selepas berhenti hujan serta cuaca yang agak redup. Perubahan cuaca dan keadaan yang berbeza dari hari sebelumnya ini turut memberikan aksi-aksi berbeza yang tidak kurang drama dan insiden.

Kategori Super Sporting

Toyota Gazoo Racing Festival musim kelima pusingan kedua – Race 2; aksi perlumbaan basah mendebarkan

‘Badi’ yang menghantui Tengku Djan Ley nampaknya mula hilang pada perlumbaan kali ini, dan membuktikan dia masih lagi ‘raja’ dalam perlumbaan basah. Djan yang memulakan perlumbaan dari petak ke-12 berjaya menamatkan perlumbaan di tempat pertama!

Hujan lebat yang turun pada perlumbaan ini memaksa ia ditangguhkan selama 25 minit dan dilepaskan secara rolling start selepas dipimpin oleh safety car untuk dua lap. Farique Hairuman dari pasukan M7 Japan Project yang berada petak hadapan terus mempertahankan kedudukan tersebut sambil ‘diserang’ oleh enam pelumba lain di belakangnya.

Akhirnya selepas dua-lap, Farique gagal bertahan dan dipintas oleh Hayden Haikal dari pasukan Axle Motorsport, diekori rapat oleh Mark Darwin dari pasukan Laser Motor Racing. Farique turut terlibat dengan beberapa insiden dalam keadaan trafik yang begitu huru-hara dan litar yang licin, menyebabkan dia terus tertinggal di kelompok belakang.

Toyota Gazoo Racing Festival musim kelima pusingan kedua – Race 2; aksi perlumbaan basah mendebarkan

Hayden dan Darwin terus menjarakkan kedudukan mereka dari kelompok kedua yang dipimpin oleh Mitchell Cheah dari pasukan Prima Pearl TD Racing. Ketika ini perlumbaan dilihat mungkin akan dimenangi oleh Hayden atau pun Mark Darwin dengan kedua-duanya dilihat bertukar-tukar posisi beberapa kali.

Namun secara perlahan-lahan, Tengku Djan dengan pengalaman dan kepintarannya ‘membaca’ garis perlumbaan di Litar Sepang berkenaan mula memotong pelumba di hadapan satu demi satu, dan beberapa kali mencatatkan masa pusingan lap terpantas. Akhirnya, kedua-dua pelumba yang berada di kelompok hadapan berkenaan dipintas oleh Tengku Djan, seterusnya menamatkan perlumbaan dengan perbezaan masa 1.5 saat di hadapan Mark Darwin, diikuti oleh Hayden di tempat ketiga.

“Ini pastinya merupakan perlumbaan yang mencabar, terutamanya dengan kebanyakkan kami bertarung untuk berada di hadapan kelompok pertama. Untuk pemanduan dalam basah, apa yang penting adalah ketepatan dan mempunyai kefahaman yang baik terhadap kondisi litar,” kata Tengku Djan.

Toyota Gazoo Racing Festival musim kelima pusingan kedua – Race 2; aksi perlumbaan basah mendebarkan

“Sepang merupakan litar yang sangat mencabar…keadaan boleh menjadi sangat berbeza dan garis perlumbaan yang biasa kita guna akan menjadi sangat licin dan memaksa pelumba untuk mencari garis perlumbaan baru bagi masuk ke selekoh,” tambahnya lagi.

Tengku Djan tidak dapat berlumba di kedua-dua perlumbaan pusingan pertama pada Mac lalu kerana dijangkiti Covid-19, manakala pada Race 1 untuk pusingan kedua yang berlangsung sehari sebelumnya dia terlibat dalam kemalangan dengan Boy Wong menyebabkan suspensi hadapannya rosak teruk dan terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal.

Jadi buat masa sekarang, peluangnya untuk sekali lagi mempertahankan gelarannya sebagai juara keseluruhan adalah sangat tipis.

“Saya perlu optimistik. Apabila saya terlepas pusingan pertama saya tahu bahawa agak sukar untuk merebut kejuaraan. Tetapi saya ada rakan sepasukan Mitchell Cheah dan oleh itu saya sudah tentu akan bekerja dengannya bagi memastikan dia ada peluang yang adil untuk kejuaraan,” jelas Tengku Djan.

Kategori Rookie

Toyota Gazoo Racing Festival musim kelima pusingan kedua – Race 2; aksi perlumbaan basah mendebarkan

Kategori yang berlepas sekali dengan kategori Super Sporting ini menyaksikan Muhammad Hamdany akhirnya berjaya menjadi juara buat pertama kali untuk musim ini. Tambah manis, kejayaan kali ini melengkapkan empat kedudukan podium Hamdany dalam kesemua empat perlumbaan yang telah berlangsung untuk Vios Challenge musim kelima ini.

Pelumba kart berumur 19-tahun berkenaan berjaya menawaskan Nabil Azlan, pelumba simulator yang telah pun menjadi juara pada Race 1 sehari sebelum itu. Dalam perlumbaan kali ini juga menyaksikan satu-satunya pelumba wanita dalam Vios Challenge dan kategori Rookie itu sendiri iaitu Adele Lew berjaya menaiki podium buat pertama kali selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

“Saya sangat risau sebelum perlumbaan bermula dan saya telah mengubah talaan pada kereta termasuk melaras semula tekanan tayar (kerana hujan). Saya sangat gembira kerana semuanya berjalan lancar dan saya mampu menghabiskan perlumbaan di tempat pertama,” kata Hamdany.

Toyota Gazoo Racing Festival musim kelima pusingan kedua – Race 2; aksi perlumbaan basah mendebarkan

“Saya sangat gembira untuk podium pertama ini. Ia merupakan perlumbaan basah dan ini juga merupakan pengalaman pertama saya berlumba dalam keadaan ini. Saya perlu mempertahankan kedudukan saya pada awal perlumbaan tetapi saya mampu mengelak dari sebarang insiden dan mengekalkan kedudukan untuk 14 lap,” kata Adele Lew pula.

Adele merupakan anak kepada pelumba kelas Super Sporting iaitu Eddie Lew, dan dia terpilih untuk menyertai program pembangunan bakat muda Toyota Gazoo Racing ini hanya berbekalkan pengalaman minima dalam bermain fun kart.

Kategori Sporting

Toyota Gazoo Racing Festival musim kelima pusingan kedua – Race 2; aksi perlumbaan basah mendebarkan

Sekali lagi pelumba muda Naquib Azlan dari pasukan bimbingan Alex Yoong iaitu Axle Motorsport memenangi perlumbaan kategori amatur ini. Namun apa yang mengejutkan, Abdul Miqail yang baru sahaja berumur 16-tahun sekali lagi naik ke podium untuk Race 2 selepas menduduki tempat ketiga pada Race 1 sehari sebelumnya.

Miqail yang memandu untuk pasukan 23 Motors meraih tempat kedua kali ini, diikuti Ahmad Tarmini Tahang dari pasukan M7 Japan Project di tempat ketiga yang pertama kali naik ke podium setelah masuk musim keduanya berlumba dalam Vios Challenge.

Naquib bermula dari petak keenam untuk Race 2, berjaya meluru ke hadapan dan kemudian berjaya memimpin perlumbaan dengan kelebihan 5 saat hanya selepas tiga lap perlumbaan bermula. “Saya sangat gembira dengan keputusan hujung minggu ini. Saya datang dengan harapan yang tinggi minggu ini, mahu menebus kesilapan yang saya lakukan pada pusingan pertama dan syukur saya mampu menebusnya dengan dua kemenangan,” katanya.

“Namun, ia tidak berlaku dengan mudah, kerana dengan penalti berat 35 kg yang saya bawa bermaksud ia akan menjadi sukar terutamanya saya bermula di petak keenam. Ia kemudian menjadi persoalan bagaimana untuk memintas pelumba lain dan mujurlah Abdul Miqail dan saya dapat melakukan ini dengan pantas pada pusingan pertama. Secara keseluruhannya, saya sangat gembira dan saingan adalah sangat sengit,” tambah Naquib lagi.

“Saya sangat bersyukur kerana mampu melakukan yang terbaik untuk pasukan dan dalam proses untuk memperbaiki pemanduan saya…ia merupakan hujung minggu yang baik,” kata Abdul Miqail. Tarmimi juga melakukan tugasnya dengan agak baik kali ini selepas memulakan perlumbaan dari petak ke-sembilan.

Kategori Promotional

Toyota Gazoo Racing Festival musim kelima pusingan kedua – Race 2; aksi perlumbaan basah mendebarkan

Buat pertama kali, pengacara dan pelawak Nabil Ahmad berjaya menamatkan perlumbaan di tempat pertama dalam kategori ini sepanjang pembabitannya dalam Vios Challenge. Turut tidak disangka, tempat kedua dirangkul oleh penyanyi Wany Hasrita, diikuti pelakon Janna Nick di tempat ketiga.

Keputusan ini adalah berikutan dua pelumba utama yang bersaing dalam kategori tersebut iaitu Zizan Razak dan Shukri Yahaya yang mengalami masalah mekanikal pada kereta masing-masing. Zizan yang pada awalnya mendahului perlumbaan ini mula hilang kelajuan pada tiga lap terakhir kerana masalah yang berlaku pada kotak gear, menyebabkan ia terpaksa berpuas hati di tempat keenam.

Manakala Shukri Yahaya yang berusaha mengejar dari petak paling belakang kerana hilang kelayakan pada Race 1 (kerana melakukan jump start), terlebih dahulu perlu berhadapan dengan kemalangan dengan Ahirine Ahirudin di selekoh pertama lap kedua, menyebabkan bampar hadapannya rosak.

Namun ini tidak mematahkan semangat Shukri untuk terus mengejar kelompok hadapan dan berjaya berada di belakang Nabil ketika Zizan mula menghadapi masalah dengan keretanya. Tetapi sama seperti Zizan, Shukri juga mengalami masalah pada kotak gear menyebabkan dia hanya mampu menghabiskan perlumbaan di tempat kelima.

Hari kedua Festival Perlumbaan Toyota Gazoo Racing Malaysia ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktivit sampingan. Ia dimulakan dengan acara All-Wheel Fest pada sebelah pagi di mana pengunjung berpeluang mengelilingi laluan litar sepanjang 2.7 km tersebut menggunakan apa sahaja kenderaan tanpa motor seperti basikal, papan luncur, skuter tolak dan sebagainya.

Sesi Zumba, pump ramp serta pertandingan dan kelas papan luncur juga akan diadakan, manakala pada sebelah petang berlangsung konsert yang menampilkan penyanyi dari Indonesia iaitu Judika. Pelbagai reruai jualan, promosi dan aktiviti turut disediakan untuk pengunjung, bersama kawasan trak makanan yang menyediakan pelbagai sajian tempatan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required