Dengan 4,473 unit yang dijual sepanjang Jun 2022, Proton X50 kekal menjadi pendahulu pasaran dalam SUV segmen B, sekaligus mendahuli pasaran SUV di Malaysia. Angka jualan terbaru bagi X50 ini hampir 61% lebih tinggi berbanding 2,779 unit yang dijual pada Mei. Angka ini juga sebahagian daripada jumlah keseluruhan 14,787 unit (domestik dan eksport) yang dicapai bulan lalu.
Menurut Proton, Jun menjadi bulan dengan jualan terbaik bagi X50 sejak model berkenaan dilancarkan pada Oktober 2020. SUV berkenaan ditawarkan dalam empat varian; 1.5T Standard, 1.5T Executive, 1.5T Premium dan 1.5 TGDi Flagship. Sejak dilancarkan, X50 menjadi pilihan ramai, dengan lebih daripada 100,000 tempahan setakat Mac tahun ini.
Bulan lalu, dimaklumkan bahawa tempoh menunggu untuk SUV ini adalah sekitar enam bulan dan Proton sedang berusaha keras untuk memastika pelanggan menerima kereta mereka sebelum 1 April 2023. Ini selepas kerajaan mekalumkan pengecualian SST tidak lagi akan dilanjutkan, tetapi ia masih sah untuk semua kenderaan yang ditempah sebelum 1 Julai tahun ini dan didaftarkan menjelang 31 Mac 2023.
Bagi eksport, Proton memaklumkan 100 unit X50 telah dihantar sepanjang Jun, dan ada lagi yang akan dihantar sepanjang tahun ini. Penghujung Mei lalu, Proton mengumumkan telah mengeksport kumpulan pertama X50, X70 dan Saga ke Afrika Selatan buat pertama kali sejak 2012.