TnG, Shell M’sia lancar transaksi RFID di 88 stesennya di seluruh negara; 200 stesen menjelang akhir tahun

TnG, Shell M’sia lancar transaksi RFID di 88 stesennya di seluruh negara; 200 stesen menjelang akhir tahun

Touch ‘n Go (TnG) dan Shell Malaysia telah melancarkan fungsi pembayaran RFID di 88 buah stesen Shell di seluruh negara, di mana para pelanggan boleh membayar pembelian minyak dengan menggunakan transaksi tanpa tunai di petak pam terpilih.

Jika anda ingin melakukan transaksi pembayaran menggunakan Touch ‘n Go RFID ini, apabila berada di stesen Shell berkenaan, anda perlu mencari petak pengisian minyak dengan RFID. Ini adalah kerana tidak semua petak pengisian minyak mempunyai sokongan RFID.

Pertama sekali, apa yang perlu dilakukan ialah anda harus mengaktifkan RFID Fuelling terlebih dahulu. Langkah ini hanya sekali sahaja dilakukan. Caranya senang, buka aplikasi eWallet, tekan pada ikon Shell dan kemudian aktifkan butang fuelling. Dari situ, anda boleh menetapkan amaun untuk mengisi minyak, malahan boleh juga disambungkan ke kad BonusLink untuk mendapatkan mata ganjaran.

Untuk mengisi minyak, anda perlu mengenalpasti petak spesifik dengan tanda RFID, parkir kenderaan anda di dalam petak berkenaan, betul-betul mengadap skrin LED (terletak di bahagian atas atau pun bawah, di hadapan petak berkenaan). Apabila pengimbas dapat mengesan kenderaan anda, sistem akan ‘menghantar isyarat’ pada pam dan apabila skrin menunjukkan ikon pam hijau, anda mempunyai 80 saat untuk memulakan proses mengisi minyak.

Apabila selesai mengisi minyak dan corong nozzle diletakkan semula di tempat asalnya, amaun yang tidak digunakan akan dikembalikan dalam tempoh 10 minit selepas pengisian minyak. Bagaimanapun, mungkin terdapat keadaan di mana bayaran balik mungkin mengambil masa sehingga dua hari waktu bekerja untuk diselesaikan, kata syarikat tersebut.

Untuk pelanggan yang mengumpul mata ganjaran dengan BonusLink, Shell Malaysia turut menyepadukan fungsi pengumpulan mata terssebut dalam kaedah pembayaran RFID yang dilancarkan semalam. Manakala aplikasi Touch ‘n Go eWallet akan menyarankan pengguna untuk mendapatkan kad BonusLink sebelum mengisi minyak dan satu kad BonusLink akan disokong bagi setiap unit RFID.

Menurut CEO Touch ‘n Go Group, Effendy Shahrul Hamid, buat masa ini kerjasama TnG untuk implementasi RFID bagi transaksi pembelian minyak hanyalah bersama Shell sahaja.

Setiap daripada 88 stesen Shell di seluruh negara buat masa ini memiliki dua petak RFID bagi setiap stesen, dan jumlah ini akan meningkat sekiranya kaedah pembayaran RFID kian menggalakkan, ujar Pengurus Besar Mobiliti Shell Malaysia & Singapura, Seow Lee Ming.

“Kami bertuah kerana telah menemui rakan kongsi yang berfikiran sama dalam Shell, yang sejajar dengan cita-cita kami untuk menyediakan pelanggan pengalaman pemanduan tanpa tunai dan tanpa sentuhan, dan membantu kami membuka jalan ke arah memberikan tawaran yang lebih inovatif untuk pelanggan kami, ” kata CEO Touch ‘n Go lagi.

Program perintis bagi pembayaran dengan menggunakan RFID untuk pembelian minyak ini telah diumumkan pada Mei 2021, dan dimulakan dengan lima stesen Shell di Lembah Klang yang mengambil bahagian antara 13 Julai hingga 12 Ogos tahun lalu. Pada Mei tahun ini, fungsi RFID telah dikembangkan ke 35 stesen Shell di sekitar Lembah Klang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required