Perodua Alza 2022 menggunakan sistem janaan yang sama sekali berbeza daripada model lamanya. Enjin yang digunakan kini adalah unit 2NR-VE 1.5 liter NA empat-silinder petrol yang menghasilkan 105 hp dan 138 Nm tork.

Kuasa dari enjin dihantar ke roda depan melalui kotak gear D-CVT, gandingan sama yang turut digunakan oleh Myvi. Perodua mendakwa, kadar penggunaan minyak adalah 22 km/l dalam Kitaran Pemanduan Malaysia, atau 18.9 km/l bagi kitaran NEDC.

Bagaimana dengan kos penyelenggaraan MPV ini bagi tempoh lima-tahun atau 100,000 km? Kami meninjau perkara ini, berdasarkan data servis yang tersedia di laman web Perodua. Kemudian, kami bandingkan pula dengan model lain dalam segmen sama, iaitu Mitsubishi Xpander dan Honda BR-V — kedua-duanya dengan enjin 1.5 liter NA.

Alza merupakan model paling mampu milik di antara semuanya yang disebutkan itu, dengan harga dari RM62,500 hingga RM75,500 dalam tiga varian (atas jalan tanpa insurans). Xpander pula ditawarkan dalam varian tunggal pada harga RM96,800, sementara BR-V datang dalam dua varian dengan harga antara RM90,700 dan RM97,700.

Untuk tempoh lima tahun atau 100,000 km, Alza yang paling murah untuk diselenggara dengan hanya melibatkan RM3,160.86, jika mengikut jadual yang dicadangkan. Ini diikuti oleh BR-V, dengan kos RM3,591.65 (termasuk diskaun 15% seperti yang dinyatakan dalam jadual selenggaranya), sementara Xpander pula melibatkan kos RM4,598.16.

Satu sebab mengapa Xpander lebih mahal untuk diselenggara adalah keperluan menukar penapis minyaknya selepas 36 bulan/60,000 km, dengan alat ganti itu sendiri berharga RM669.60. BR-V juga perlu ditukar penapis minyak, tetapi selepas 66 bulan/110,000 km melibatkan harga RM594.10. Bagi Alza, tidak dinyatakan keperluan berkenaan dalam jadual selenggaranya.

Barangan lain yang agak tinggi kosnya ialah palam pencucuh, dengan melibatkan RM220.40 untuk Alza dan RM380.80 untuk BR-V, dan perlu ditukar selepas 60 bulan/100,000 km. Untuk Xpander pula ia hanya perlu ditukar selepas 66 bulan/110,000 km dengan kos RM331.20 — semua MPV ini menggunakan palam pencucuh iridium.

Kotak gear automatik 4AT Xpander pul memerlukan pemeriksaan kerap setiap tahun/20,000 km. Dan ketika perlu disalin pelincir AT berkenaan selepas 60 bulan/100,000 km, ia akan menelan kos RM251.10. Ini lebih mahal berbanding menukar pelincir kotak gear D-CVT Alza yang hanya memerlukan RM97.50 bagi tempoh yang sama. Bagi BR-V pula, CVT-nya memerlukan dua kali penukaran pelincir AT; satu selepas setiap 24 bulan/40,000 km, dengan jumlah yang tidak lari jauh dari kos untuk Xpander.

Bagi minyak pelincir enjin pula, Alza dan Xpander menggunakan minyak sintetik penuh, sementara BR-V menggunakan jenis semi-sintetik; kos untuk pilihan sintetik penuh dengan drain plug washer ialah RM130.80.

Penapis udara kabi BR-V dan penapis udaranya (untuk enjin) menelas kos yang lebih berbanding Alza dan Xpander, walaupun ia tanpa kos buruh bagi lima kali servis bagi model Honda itu, yang menyumbang juga kepada mengurangkan kos penyelenggaraan keseluruhannya. Servis pertama Alza tidak dikenakan kos buruh.

Seperti biasa, pasti ada kos lain selain daripada yang dinyatakan ini. Sebagai contoh, untuk brek dan tayar. BR-V dan Xpander menggunakan rim 16-inci sebagai standard, manakala Alza dengan rim 15/16-inci. Varian tinggi untuk Alza pula lengkap dengan brek cakera, manakala varian rendahnya sama seperti BR-V dan Xpander dengan brek dram di belakang.

Cukai jalan bagi semua model ini juga sama, iaitu RM90 kerana kapasiti enjin yang serupa. Bagaimanapun, insurans akan berbeza bergantung kepada syarikat mana serta pelindungan yang dipilih (untuk banjir, cermin depan dll).

Perlu juga dinyatakan, walaupun terdapat perbezaan kos selenggara, selepas dibahagikan untuk tempoh lima-tahun, anda hanya akan membayar lebih RM86 setahun untuk servis BR-V, atau lebih RM287.46 untuk servis Xpander, berbanding Alza. Jadi, anda rasa MPV mana yang lagi berbaloi untuk dibeli dan digunakan?