Kia menerusi Dinamikjaya Motors Sdn Bhd, anak syarikat kepada Bermaz Auto Berhad (BAuto) telah menjalinkan kerjasama strategik dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Perkara ini diumumkan sendiri oleh FAM menerusi laman web rasminya.

Menerusi kerjasama bersama Dinamikjaya Motors ini, FAM akan meraih faedah terutama sekali buat Unit Pasukan Kebangsaan yang diketuai oleh Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon untuk melakukan pemerhatian pemain-pemainnya di seluruh negara selain akan melancarkan kerja-kerja logistik Unit Pentadbiran FAM.

Menerusi kerjasama strategik itu, Dinamikjaya Motors telah menyerahkan tiga unit Kia Carnival 2022 bagi kegunaan FAM serta skuad Harimau Malaya. Majlis penyerahan kenderaan Kia menerusi syarikat pengedarnya itu telah berlangsung di Pusat 3S Kia Flagship yang baharu di Glenmarie, Shah Alam baru-baru ini.

Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Prima Auto Sdn Bhd/Dinamikjaya Motors Sdn Bhd, Dato Amer Hamzah Ahmed berkata pihaknya komited terhadap pembangunan sukan di Malaysia di mana ia adalah salah satu medium untuk mencipta serta menggalakkan persekitaran yang sihat demi membangunkan negara.

Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin pula berkata, kerjasama bersama Dinamikjaya Motors ini telah bermula pada kempen Kelayakan Piala Asia 2023 Jun lalu namun ketika itu, ia khusus untuk tempoh kejohanan sahaja.

“Menerusi kejayaan serta persembahan berkualiti Harimau Malaya pada Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, ia berjaya menarik perhatian Dinamikjaya Motors untuk meneruskan jalinan kerjasama bersama kami sekali gus menjadi rakan rasmi automotif FAM dan Harimau Malaya.

“Sebagai presiden FAM, sudah tentu jalinan kerjasama ini adalah pencapaian yang amat membanggakan di mana FAM dapat meluaskan lagi hubungan strategik bersama syarikat-syarikat gergasi di luar sana. Harapan saya menerusi jalinan kerjasama bersama Dinamikjaya Motors, ia dapat memberi motivasi kepada skuad Harimau Malaya untuk terus melakukan yang terbaik demi mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia,” kata Datuk Haji Hamidin.