Nampaknya usaha Proton untuk menguatkan kembali jualan pada pasaran eksportnya semakin hari semakin menampakkan hasil – syarikat berkenaan mengumumkan bahawa sepanjang bulan Ogos 2022, ia telah berjaya mengeksport sebanyak 938 unit kenderaan keluar dari Malaysia. Rekod ini adalah lebih tinggi dari jumlah 794 unit yang dicatatkan pada Mac lalu, dan jumlah keseluruhan kenderaan yang dieksport untuk tahun ini telah mencecah sebanyak 4,040 unit.

Proton Saga masih lagi kekal sebagai model dengan jumlah eksport tertinggi syarikat berkenaan, sementara X70 dan X50 mencatatkan rekod eksport terbaik masing-masing bulan lalu. Proton menjangkakan jumlah eksportnya akan terus meningkat selepas ini apabila operasinya di Afrika Selatan akan secara rasmi bermula semula pada bulan ini.

“Jualan eksport Proton terus mencapai tahap baharu setiap bulan dan membuktikan bahawa jenama ini berjaya memenangi hati pelanggan baharu di luar pasaran domestik. Jualan eksport adalah penting untuk syarikat mencapai matlamat jangka panjangnya dan membantu meningkatkan imbangan perdagangan untuk Malaysia sambil mempamerkan kualiti dan kepintaran pembekal Malaysia,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah.

Selain dari mempamerkan prestasi yang bertambaik pada pasaran eksport, Proton turut mengumumkan bahawa ia mencapai jumlah jualan bulanan tertingginya sejak sembilan tahun, dengan rekod 15,880 unit kenderaan berjaya dijual dalam pasaran domestik dan eksport sepanjang Ogos 2022.

Ini menjadikan jualan kumulatif tahunan Proton setakat ini adalah 87,481 unit, berbanding hanya 62,637 unit untuk tempoh sama (Januari-Ogos) tahun lalu, atau naik sebanyak 39.7%.

Prestasi eksport Proton untuk separa pertama 2022 telah pun mencapai 2,722 unit sehingga Jun lalu, atau naik 81.2% berbanding tempoh sama tahun sebelumnnya. Sehingga Julai 2022, Saga masih lagi model yang mencatatkan jumlah eksport tertinggi untuk Proton dengan 1,602 unit telah dieksport untuk separa pertama tahun ini. Pakistan terus menjadi pasaran eksport terbesar Proton dengan mencatatkan 1,770 unit jualan, di mana angka tersebut adalah 183% lebih tinggi berbanding jumlah jualan pada separa pertama 2021.