Mungkin selepas ini rakyat Malaysia dan Indonesia boleh berulang alik ke kedua-dua negara berkenaan dengan menggunakan jalan darat apabila Melaka telah mengeluarkan cadangan untuk membina laluan melibatkan jarak kira-kira 120 km iaitu melalui Masjid Tanah (Melaka)-Dumai (Tanah Besar Sumatera).

Menurut Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, laluan yang dirancang dibina dalam bentuk terowong atau jambatan itu dijangka mengambil masa 20 tahun bakal dibangunkan dengan kerjasama syarikat swasta, laporan Bernama.

Tambah beliau, dengan adanya laluan tersebut, ia mampu memberi impak kepada perkembangan ekonomi kedua-dua negara dalam pelbagai sektor khususnya perindustrian dan pelaburan.

“Cadangan pembinaan laluan ini telah dikemukakan pihak swasta dan menerusi kajian yang dilakukan, jarak antara pesisir pantai di Dumai, Indonesia ke Telok Gong, Masjid Tanah di sini hanya sejauh 47 km.

“Secara dasarnya kedua-dua negara telah bersetuju untuk perkara ini diperincikan dan langkah awal di peringkat kerajaan negeri Melaka, kita telah membawa semua agensi kerajaan melihat kawasan yang akan dibina jajaran baharu ini semalam,” katanya.

Jelasnya, laluan berkonsepkan ‘Satu Jalur Satu Jalan’ itu akan menjadi ikon baharu kedua-dua negara dan pelbagai prasarana akan turut dibangunkan termasuk kawasan penyuraian trafik dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

Selain itu, kawasan perindustrian baharu yang menempatkan pelbagai kegiatan perindustrian seperti semikonduktor dan automotif akan dibangunkan secara berperingkat di Masjid Tanah melibatkan keluasan kira-kira 2,023 hektar, katanya. Di mana ia diuruskan oleh Melaka Corporation, yang dahulunya dikenali sebagai Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM)