Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Johor dan Sabah bakal dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini Johor, JVR, bakal dibuka bidaan mulai 15 September, dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 19 September 2022. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 20 September. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Sabah pula, SD-U, bidaannya bakal dibuka bermula 24 September dan akan berakhir jam 10 malam pada 28 September 2022. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 29 September ini.

Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.