Dua model terkini Honda, Honda HR-V dan BR-V 2022 telah menerima penarafan lima-bintang bagi pusingan ujian terkini yang dijalankan oleh ASEAN NCAP. Kedua-dua model berkenaan masing-masing pernah diuji buat pertama kali pada 2015 dan 2016 di sini.

Dalam ujian dan penilaian terkini mengikut protokol ASEAN NCAP 2021-2025, kedua-dua model berkenaan telah memperolehi penarafan 5-bintang dengan masing-masing mencatatkan sebanyak 81.38 mata dan 77.02 mata. Kedua-dua model ini dilengkapi dengan empat beg udara untuk semua varian yang ditawarkan, dengan penawaran maksimum enam beg udara.

Bagi HR-V, daripada keseluruhan 81.38 mata yang dikumpul itu, SUV berkenaan mencatatkan pecahan mata seperti berikut: 35.00 mata untuk Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP); 17.81 mata bagi Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP); 18.57 mata bagi kategori Bantuan Keselamatan (SA); dan 10.00 mata bagi Keselamatan Penunggang Motosikal (MS).

HR-V terbaru ini juga antara lain turut hadir dengan ciri keselamatan seperti Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Brek Kecemasan Autonomous (AEB) Bandar, AEB Inter-Urban, AEB Pejalan Kaki dan AEB Motosikal sebagai kelengkapan standard untuk semua varian, dengan banyak lagi ciri keselamatan aktif bagi varian yang lebih tinggi.

Bagi BR-V pula, jumlah keseluruhan 77.02 mata yang diraih itu terdiri daripada pecahan seperti berikut: 33.72 mata untuk AOP, 17.46 mata untuk COP, 15.71 mata bagi SA dan 10.13 mata bagi MS. Model ini juga datang standard dengan ciri seperti ESC, ABS, SBR untuk pemandu bagi semua varian. Seperti juga HR-V, SUV ini turut datang dengan ciri keselamatan lain baik secara standard mahupun pilihan untuk varian yang lebih tinggi.