Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan bagi Ogos 2022, menyaksikan sebanyak 66,614 unit kenderaan baharu telah dihantar pada bulan tersebut, berbanding 17,923 unit pada tempoh yang sama tahun lalu. Ini juga menyaksikan peningkatan sebanyak 36% berbanding Julai 2022 yang terjual mencecah 48,922 unit.

Menurut persatuan itu dalam kenyataannya, peningkatan jualan pada Ogos 2022 berikutan memenuhi tempahan daripada syarikat kereta yang diterima sebelum 30 Jun 2022. Selain itu, MAA turut berkata jumlah jualan setakat lapan bulan pertama tahun ini meningkat sebanyak 62.8% kepada 447,209 unit berbanding 274,600 unit dalam tempoh sama pada 2021.

Jualan kenderaan penumpang melonjak kepada 59,769 unit pada Ogos 2022 berbanding 15,475 unit pada Ogos 2021 dan jualan kenderaan komersil naik kepada 6,845 unit pada bulan tersebut daripada 2,448 unit sebelum ini.

Dari segi jumlah pengeluaran, persatuan itu berkata sejumlah 69,378 unit kenderaan dikeluarkan pada Ogos 2022 berbanding 13,961 unit pada bulan sama tahun lalu.

Katanya pengeluaran kenderaan penumpang melonjak kepada 64,282 unit pada Ogos 2022 berbanding 12,897 unit pada Ogos 2021 manakala pengeluaran kenderaan komersil meningkat kepada 5,096 unit berbanding 1,064 unit sebelum ini.

Mengenai prestasi jualan bagi September ini, MAA menjangkakan jumlah jualan akan kekal sama seperti yang dicatatkan pada Ogos 2022 berikutan masalah kekurangan cip dan komponen yang masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya.