Awal Jun lalu, BMW Group Malaysia telah menaiktaraf BMW X5 xDrive45e dengan beberapa kelengkapan baharu dan kini membawakan anda galeri foto peuh bagi Sports Activity Vehicle (SAV) ini.

Salah satu perubahan yang ditampilkan ialah dengan penambahan lampu utama Laserlight yang menggantikan sistem LED adaptif pada model sebelumnya dan lampu nyalaan siang LED berbentuk haksagon serta kemasan biru di antara kluster.

Fungsi tambahan bagi sistem Laserlight ini termasuklah “lampu untuk cuaca buruk” yang sebelum ini fungsinya dijalankan oleh lampu kabus hadapan tetapi kini digugurkan, bersama dengan lampu tinggi automatik untuk mengelakkan silau terhadap pengguna jalan raya. Selain itu, SAV yang dipertingkatkan ini turut menerima roda lebih besar bersaiz 21-inci jejari-Y (style 741M) dalam serlahan warna Orbit Grey bagi menggantikan unit aloi jejari-bintang (style 740M) 20-inci dua-tona yang digunakan pada model sebelum ini.

X5 ini turut ditambah beg udara sisi belakang, menjadikan jumlah keseluruhannya kini lapan unit, dan ia juga memiliki Active Protection yang menutup tingkap dan bumbung suria serta pre-tension bagi tali pinggang keledar sekiranya sistem keselamatan kereta mengesan risiko pelanggaran.

Manakala ciri yang tidak berubah adalah kelengkapan Bantuan Pemanduan dengan brek kecemasan sendiri, bantuan kekal lorong dan pemantauan titik buta. Tetapi ia masih tidak diberikan pemanduan sendiri Tahap 2 yang menampilkan kawalan kelajuan adaptif dan bantuan pemusatan lorong.

Selain daripada perubahan yang disebut ini, kelengkapan lain masih dikekalkan seperti sebelum ini. Ciri standard termasuk pakej M Sport, kemasan cermin aluminium sutera dan rel bumbung, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, upholstery kulit Vernasca, kemasan kayuan coklat berkilat Fineline Stripe, papan pemuka balutan kulit tiruan, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori untuk bahagian pemandu, kawalan suhu empat-zon, bumbung suria panoramik, suspensi udara adaptif dan pencahayaan ambien dengan enam warna.

Ciri lain termasuk BMW Live Cockpit Professional dengan dua paparan 12.3-inci (satu sebagai kluster instrumen digital dan satu lagi skrin sesentuh untuk sistem infotainmen), dua skrin sesentuh 10.2-inci untuk penumpang belakang, BMW Display Key, Bantuan Parkir, tailgate bukaan bebas tangan, kamera 360-darjah dan sistem bunyi sekeliling Harmon Kardon 16-pembesar suara.

Penjana kuasa plug-in hybrid juga dikekalkan, dengan unit B58 3.0 liter pengecas turbo enam-silinder petrol yang mampu menghamburkan kuasa 286 PS (282 hp) dari 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork 450 Nm dari 1,500 hingga 3,500 rpm.

Motor elektrik pula mampu memberikan kuasa sehingga 113 PS (113 hp atau 83 kW) dan 265 Nm diposisikan di antara enjin dan transmisi automatik Steptronik Sport lapan-kelajuan. Maka jumlah keseluruhan kuasa bagi SAV ini mencecah 394 PS (389 hp) dan 600 Nm.

Risalah spesifikasi BMW X5 xDrive45e M Sport 2022

Bersama sistem pacuan semua-roda BMW xDrive, ia membolehkan SAV ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.6 saat, dengan kelajuan maksimum 235 km/j dan penggunaan bahan api pula lebih kurang sekitar 2.5 liter bagi setiap 100 km mengikut kitaran NEDC.

BMW berkata motor elektrik yang dijanakan dari bateri lithium-ion 24-kWh, mampu memberikan jarak sehingga 77 km bagi pacuan semua elektrik dengan pengecasan penuh. Ia boleh dicas menggunakan pengecas onboard AC (sambungan Type 2) sehingga 3.7 kW yang mengambul masa antara enam jam 50 minit untuk pengecasan penuh. Jika menggunakan pengecas mudah alih dan punca kuasa tiga-pin dengan soket domestik 240-voltan, ia mengambil masa sekitar 10 jam 30 minit untuk dicas penuh.

X5 xdrive45e ini ditawarkan pada harga atas jalan RM456,750 tanpa insurans termasuk waranti standard dua-tahun. tanpa had perbatuan. Tetapi jika anda mahukan waranti lanjutan lima-tahun/tanpa had perbatuan bersama pakej servis, harga yang perlu dibayar meningkat ke RM480,800.