Sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Sembilan, Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM menawarkan pengurangan bayaran saman trafik sehingga 50% bagi kesalahan terpilih selama tiga hari yang sudah pun bermula hari ini sehingga 9 Oktober 2022. Acara berkenaan berlangsung di Dataran Seri Jempol, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan.

Menurut PDRM, bayaran saman dengan diskaun berkenaan hanya boleh dilakukan di kaunter yang dibuka di tapak acara tersebut bermula jam 9 pagi hingga 9 malam.

Walau bagaimana pun, PDRM berkata, pengurangan saman trafik ini tidak ditawarkan bagi kesalahan kemalangan, memotong secara merbahaya, menggunakan lorong kecemasan, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memotong di garisan berkembar, kesalahan yang dikategorikan tidak boleh dikompaun, kesalahan yang berstatus perbicaraan, kesalahan berkaitan kenderaan berat, dan kesalahan ubahsuai ekzos kenderaan.