Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), selaku pengendali perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel di Lembah Klang telah memaklumkan status terkini kerja-kerja penambahbaikan operasi perkhidmatan rel di bawah kendaliannya. Menurut syarikat terbabit seperti mana yang diumumkan menerusi laman Facebook rasminya, keseluruhan jajaran LRT, MRT dan Monorel kini sedang melalui penambahbaikan bagi mempertingkatkan mutu perkhidmatan demi kemudahan dan keselesaan pengguna.

Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya
• Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya kini sedang melalui proses menambahbaik selepas 24 tahun beroperasi kepada pengguna sejak pembukaannya pada tahun 1998.
• LRT Laluan Kelana Jaya kini beroperasi dengan kekerapan lima minit di waktu puncak dan tujuh minit di luar waktu puncak pada hari bekerja.
• Atas faktor keselamatan, hanya tren yang melepasi ujian kelayakan operasi sahaja akan digunakan di dalam perkhidmatan. Bilangan tren yang terhad secara tidak langsung telah menyebabkan pengurangan kekerapan tren pada waktu puncak pagi dan petang.
• Bilangan tren yang terhad adalah disebabkan kekurangan alat ganti seperti tachometer yang amat diperlukan bagi memastikan tren dapat beroperasi dengan selamat. Tachometer yang terletak pada roda tren ialah peranti yang menghantar maklumat ke sistem kawalan tren untuk mengawal kelajuan, kedudukan dan arah pergerakan tren.
• Buat masa ini, Rapid Rail masih lagi menunggu penerimaan tachometer yang telah mula ditempah pada pertengahan Mei 2022 daripada pembekal di Eropah.
• Rapid Rail telah menerima surat bertulis daripada pembekal menyatakan jadual penghantaran alat ganti ini mengalami kelewatan daripada jadual asal iaitu bulan Disember 2022 disebabkan masalah bekalan komponen elektronik tersebut.
• Jangkaan tarikh baharu penghantaran alat ganti akan diterima secara berperingkat dari sekarang sehingga bulan Mei 2023. Walau bagaimanapun, Rapid Rail sedang dalam perbincangan dengan pihak pembekal agar penghantaran alat ganti tersebut dapat dipercepatkan.
• Setelah menerima alat ganti tersebut, kerja-kerja penukaran akan segera dijalankan dan kekerapan tren dijangka akan kembali kepada tiga minit menjelang bulan September 2023.

Tren baharu bagi LRT Laluan Kelana Jaya

• Di bawah projek Kuala Lumpur Additional Vehicles 27 (KLAV27), Rapid Rail kini dalam proses menerima 19 tren empat-gerabak baharu bagi LRT Laluan Kelana Jaya.
• Tren baharu tersebut akan diterima secara berperingkat bermula Jun 2023 sehingga Disember 2024, dan akan menggantikan sebahagian daripada operasi tren dua-gerabak yang telah digunapakai sejak tahun 1998.

Perkhidmatan MRT Laluan Kajang

• Buat masa ini, perkhidmatan MRT Laluan Kajang beroperasi menggunakan 26 buah tren dengan kekerapan 6 minit pada waktu puncak dan 10 minit pada luar waktu puncak pada hari bekerja.
• Bilangan tren yang beroperasi adalah terhad akibat keadaan roda pada beberapa tren yang hampir haus dan memerlukan penggantian segera.
• Program penggantian roda kini sedang giat dijalankan, dan untuk tujuan tersebut Rapid Rail telah membeli sebanyak 1,040 unit roda baharu yang akan diterima secara berperingkat.
• Proses penggantian ini telah bermula sejak Jun 2022 dan dijangka siap pada Ogos 2023. Kerja-kerja penggantian memerlukan tempoh masa bagi memastikan kualiti pemasangan dijalankan secara terperinci dan teliti demi keselamatan pengguna.
• Melalui proses penggantian ini, lebih banyak tren boleh beroperasi. Penambahbaikan secara progresif akan dapat dilihat dari sekarang dan kekerapan tren akan dapat dikembalikan kepada empat minit di waktu puncak pada bulan Ogos 2023.

Perkhidmatan KL Monorel

• Perkhidmatan Monorel kini beroperasi menggunakan tujuh set tren dengan kekerapan tujuh minit di waktu puncak dan 10 minit di luar waktu puncak pada hari bekerja.
• Menjelang Disember tahun ini, sebanyak lapan tren akan beroperasi, membolehkan kekerapan tren dikurangkan kepada enam minit di waktu puncak.
• Selaras dengan pembukaan perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya Fasa 2 yang dijadualkan pada suku pertama tahun 2023, perkhidmatan Monorel dijangka akan beroperasi menggunakan 10 set tren dengan kekerapan lima minit.
• Ini dapat menambahbaik kesalinghubungan di antara perkhidmatan Monorel dan MRT Laluan Putrajaya, yang akan berintegrasi di Stesen Titiwangsa.

Lanjutan Waktu Puncak
• Selain daripada penambahbaikan yang sedang giat dijalankan, Prasarana juga sentiasa mengambil maklum cadangan dan maklumbalas daripada pengguna pengangkutan awam.
• Bermula 25 Oktober 2022, jadual waktu puncak dilanjutkan selama setengah jam untuk pagi dan petang. Kini, 7 pagi ke 9.30 pagi pada waktu pagi dan 5 petang ke 7.30 malam untuk waktu petang.
• Lanjutan waktu puncak perkhidmatan tren diselaraskan dengan penambahan kekerapan perkhidmatan Rapid Bus, bagi kemudahan para pengguna.

“Dengan penambahbaikan berperingkat yang sedang dijalankan serta perlanjutan waktu-waktu puncak, Rapid Rail berharap dapat memperbaiki perkhidmatan serta memulihkan kebolehpercayaan perkhidmatan rel di Lembah Klang.

“Kami akan memaklumkan perkembangan proses penambahbaikan dari masa ke semasa kepada orang awam menerusi saluran-saluran media sosial dan media massa,” kata Rapid Rail lagi.