ACE 2022: Kenali Volvo XC40 B5 dan Recharge T5 facelift terbaru — tawaran dan hadiah menarik menanti

ACE 2022: Kenali Volvo XC40 B5 dan Recharge T5 <em>facelift</em> terbaru — tawaran dan hadiah menarik menanti

Hujung minggu 5-6 November nanti bakal berlangsungnya acara pameran dan jualan kenderaan Auto Car Expo (ACE) bertempat di Pusat Persidangan Setia City (SCCC). Acara ini turut melibatkan tajaan bersama oleh myTukar, Petron dan Yinson GreenTech, serta membawakan pelbagai tawaran menarik untuk pengunjung.

Melalui Ingress Swede Automobile, Volvo juga akan ikut serta dalam acara ini, dengan mempamerkan barisan kenderaan terbaru, termasuklah XC40 B5 mild-hybrid dan XC40 Recharge T5 facelift. Kedua-dua versi XC40 terbaru ini hanya hadir dalam tingkat kemasan tunggal, iaitu Ultimate, yang menggantikan kemasan R-Design sebelum ini.

Diperkenalkan beberapa hari lalu, kedua-dua varian XC40 ini dipasang di sini dan dijual pada harga yang sama, RM268,888. XC40 B5 Ultimate dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder petrol, dan digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan. Ia menghasilkan sebanyak 263 hp dan 390 Nm tork untuk memacu semua roda.

XC40 Recharge T5 Ultimate PHEV pula menggunakan enjin 1.5 liter turbocas tiga-silinder petrol yang diganding bersama transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan (klac basah). Enjin ini menghasilkan 262 hp dan 425 Nm yang menghantar kuasa ke roda depan. Varian ini juga dilengkapi dengan bateri lithium-ion 10.7 kWh, memberikan pacuan elektrik sepenuhnya sejauh 44 km.

ACE 2022: Kenali Volvo XC40 B5 dan Recharge T5 <em>facelift</em> terbaru — tawaran dan hadiah menarik menanti

Kelengkapan standard lain bagi kedua-dua varian ini termasuk rim 19-inci, sistem bunyi Harman Kardon 600 watt dengan 14-pembesar suara, kerusi depan larasan elektrik dengan fungsi memori untuk pemandu dan kedudukan cermin sisi, kamera 360-darjah serta sistem bantuan pemandu Pilot Assist. Bantuan pemandu juga hadir dalam bentuk set City Safety yang terdiri juga daripada ciri seperti tinjauan titik buta dengan bantuan stereng, dan amaran lintasan trafik belakang dengan AEB.

Selain Volvo, ACE 2022 juga menampilkan jenama lain seperti Hyundai, Toyota, Nissan, Honda, Proton, Perodua dan Subaru. Selain itu, wakil daripada jenama premium juga ada, dengan Mercedes-Benz (melalui Cycle & Carriage) dan BMW/MINI (melalui Wheelcorp Premium) akan ikut serta.

Sama seperti PACE, anda berpeluang untuk memandu uji dan membeli kenderaan yang dihajatkan sepanjang ACE 2022 berlangsung — unit baru atau terpakai, semuanya ada, dengan tawaran menarik daripada semua jenama yang terlibat.

Selain daripada promosi daripada jenama terlibat, yang akan kami umumkan dari semasa ke semasa, anda juga boleh menikmati tawaran khas oleh paultan.org. 200 pelanggan terawal yang membuat tempahan kenderaan baru akan menerima gabungan baucar bernilai RM2,500 yang terdiri daripada baucar RM500 bagi filem penapis haba V-Kool, RM500 bagi baucar Dodomat, baucar RM500 untuk penapis udara Blueair, baucar RM500 Recaro untuk kerusi keselamatan kanak-kanak dan baucar RM500 DK Schweizer bagi balutan kulit kustom untuk ruang dalaman kenderaan.

ACE 2022: Kenali Volvo XC40 B5 dan Recharge T5 <em>facelift</em> terbaru — tawaran dan hadiah menarik menanti

myTukar juga menawarkan baucar RM1,000 bagi 25 pelanggan pertama yang membuat tempahan kereta terpakai atau trade-in kenderaan mereka menerusi platform berkenaan. Mereka yang trade-in kenderaan akan menerima baucar RM500 masing-masing untuk V-Kool dan Blueair. Sementara 25 lagi pelanggan terawal yang membuat tempahan kereta terpakai akan menerima baucar RM500 untuk Dodomat dan RM500 untuk kerusi kanak-kanak Recaro. Jika anda trade-in kenderaan dan menempah kereta terpakai lain sekaligus, jumlah baucar akan meningkat kepada RM1,500.

Hadiah tidak berakhir di situ. Tempahan kereta baru yang telah disahkan pula akan membolehkan anda untuk layak dalam cabutan bertuah dengan tawaran pelbagai hadiah, termasuk 10 telefon pintar bernilai RM2,300 setiap satu dan hadiah utama terdiri daripada pakej percutian untuk dua orang bernilai RM10,000!

Walaupun dengan peraturan pandemik Covid-19 yang semakin longgar kini, kami masih akan mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan semua orang. Pengunjung adalah digalakkan untuk menggunakan pelitup muka sepanjang masa ketika berada di dalam ruang pameran, dan cecair sanitasi tangan juga akan diletakkan di beberapa tempat di sepanjang acara berlangsung.

Banyak lagi perincian promosi yang akan kami kongsikan daripada jenama-jenama yang ikut serta nanti, jadi teruskan bersama kami. Sementara itu, tandakan kalendar anda untuk 5-6 November 2022 untuk ACE 2022 di SCCC. Jumpa di sana!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required