Isu kesesakan lalu lintas di Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam terutamanya pada waktu puncak pagi dan petang kian meruncing. Penduduk yang tinggal di kawasan berkenaan termasuk di Puncak Alam, Puncak Perdana, dan Alam Budiman kerap kali meluahkan kekecewaan kerana terpaksa berhadapan dengan isu trafik saban hari dan perkara ini bukanlah isu baru yang diperkatakan. Malah ada netizen yang berhadapan dengan isu ini berkata, mereka telah bersuara sejak tahun 2014, namun perkara ini masih berlarutan.
Justeru, demi kemudahan semua pihak, Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Petaling telah mengumumkan pelaksanaan aliran trafik kontra di sebahagian Persiaran Mokhtar Dahari B49 yang telah bermula sejak petang semalam.
Menurut kenyataan yang dikongsikan menerusi Twitter, JKR memaklumkan aliran trafik kontra itu dilaksanakan pada jam 4 petang hingga 8 malam bagi mengurangkan isu kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.
Tambahnya, aliran trafik kontra di sebahagian Persiaran Mokhtar Dahari B49 menghala ke Shah Alam bermula dari persimpangan Alam Budiman hingga ke sempadan persimpangan Lebuhraya Damanasara-Shah Alam (DASH) E31. Walau bagaimana pun, difahamkan aliran trafik kontra ini masih dalam peringkat percubaan dan belum dimuktamadkan bila ia bakal dilaksanakan secara tetap.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.