Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor berjaya melelong sebanyak 192 kenderaan sita termasuk kenderaan lelong, dengan meraih kutipan mencecah RM898,438 sepanjang tahun ini.

Menurut Pengarah JPJ Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya, kutipan berkenan dibuat dalam tiga siri Lelongan Awam Kenderaan Sita, laporan Harian Metro.

“Pada 31 Mac lalu, 41 kenderaan sita dilelong dan berjaya mengutip RM114,460, manakala sebanyak 19 kenderaan sita dilelong pada 19 Julai lalu sekali gus mengutip sejumlah RM256,100.

“Bagi siri ketiga pula, sebanyak 135 kenderaan sita terdiri 97 motosikal, 17 kereta, kenderaan pelbagai guna (MPV), jip, bas, van, lori kargo am dan semi treler. Daripada jumlah itu, sebanyak 132 berjaya dilelong dengan kutipan sebanyak RM527,878,” katanya selepas menghadiri Lelongan Awam Kenderaan Sita tahun 2022 di Shah Alam semalam.

Jelasnya, dalam siri lelongan semalam, sebanyak 135 kenderaan sita yang terlibat terdiri daripada kenderaan berdaftar dan kenderaan tidak berdaftar.

“Sebanyak 115 kenderaan sita berdaftar dalam lelongan awam itu, di mana 104 daripadanya boleh dilesenkan, manakala 11 buah tidak boleh dilesenkan (scrap). Bagi kenderaan tidak berdaftar (klon), sebanyak 20 buah berjaya dilelong,” katanya.

Beliau turut memaklumkan harga lelongan tertinggi adalah RM58,000 dan jumlah terendah pula sekadar RM93.

“Ini menjadikan jumlah kutipan lelongan awam keseluruhan sejak 2019 sehingga semalam sebanyak RM5.4 juta,” katanya.