Bagi V60 model tahun 2023, Volvo Car Malaysia (VCM) telah menggantikan varian Recharge T8 Inscription dengan Recharge T8 Ultimate. Wagon ini sekarang dijual pada harga RM321,888 tidak termasuk insurans, menjadikannya RM16,000 lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Melihat kepada kelengkapan, V60 Recharge T8 Ultimate datang dengan sistem infotainmen baru Android Automotive OS yang disambungkan kepada skrin sesentuh sembilan inci menegak di tengah papan pemuka. Melaluinya, anda dapat menggunakan servis dalaman Google seperti Google Assistant, Google Maps dan Google Play Store.

Servis ini, bersama fungsi jarak jauh Volvo Cars App memerlukan langganan berupa Digital Service Package (DSP), yang dimasukkan sekali dalam harga kereta untuk tempoh selama empat tahun, sebelum memerlukan pembaharuan. Anda masih akan mendapat sistem pendingin hawa dua zon dan sistem bunyi Harman Kardon 600 watt, tetapi jumlah pembesar suara telah dikurangkan dari 16 menjadi 14.

Untuk kemasan dalam, terdapat dua padanan yang ditawarkan, iaitu kulit Maroon Brown Morit/Linear Lime dan kulit Charcoal Moritz/Metal Mesh. Pilihan ini ditawarkan untuk apa-apa sahaja warna luar ((rystal White, Onyx Black, Thunder Grey dan Bright Dusk).

Kemasan krom serta bumbung panoramik seperti varian T8 Inscription sebelum ini masih ada pada T8 Ultimate. Rim bagaimanapun adalah baru, iaitu unit 19 inci lima cabang, dengan tayar 235/40. Selain daripada itu, tiada lagi muncung ekzos berkembar di bahagian bawah bampar varian baru ini.

Senarai kelengkapan lain masih sama, termasuk tempat duduk larasan kuasa dengan fungsi memori, head-up display, panel instrumen digital 12.3 inci, kamera 360 darjah, lampu utama LED adaptif, rel bumbung, sistem masuk dan hidupkan enjin tanpa kunci, serta tombol gear kristal Orrefors.

Untuk sistem bantuan pemandu pula, terdapat pakej Pilot Assist yang membolehkan pemanduan semi-autonomous Level 2 yang termasuk Adaptive Cruise Control dan Lane Centring Assist. Turut diberi adalah City Safety untuk Autonomous Emergency Braking, Front and Rear Collision Mitigation, Lane Keeping Assist, Run-off Road Mitigation, Blind Spot Monitoring dan Rear Cross Traffic Alert dengan brek automatik.

Penggerak plug-in hybrid pada model ini juga menerima naik taraf, dengan kuasanya kini menjadi 462 PS dan 709 Nm (sebelum ini 407 PS dan 640 Nm). Tetapan pacuan semua roda ini terdiri daripada enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo supercharge bersama transmisi automatik lapan kelajuan untuk roda hadapan, sementara roda belakang mendapat kuasa daripada motor elektrik.

Untuk enjin pembakaran dalaman itu sahaja, ia boleh menghasilkan 317 PS pada 6,000 rpm dan 400 Nm dari 3,000 hingga 5,400 rpm, manakala motor elektrik pula menghasilkan 145 PS dan 309 Nm. Hasil gabungan dua sumber ini, V60 boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 4.5 saat dan memberikan penggunaan bahan api serendah 1.4 l/100 km.

Jarak gerak 90 km boleh dicapai melalui pemanduan elektrik penuh, dan ini adalah 49 km lebih jauh berbanding varian T8 Inscription. Ia adalah hasil daripada penggunaan bateri 18.8 kWh, yang lebih besar berbanding bateri 11.6 kWh sebelum ini. Bateri tersebut mengambil masa lima jam untuk penuh apabila menggunakan pengecas AC 3.7 kW, (sambungan Type 2), sementara apabila menggunakan soket domestik biasa ia mengambil masa 13 jam. V60 datang dengan jaminan lima tahun tanpa had batuan, serta jaminan lapan tahun, 160,000 km untuk bateri PHEV padanya.