Myvi diterbalikkan orang ramai di Johor selepas pemandunya rempuh motosikal, buat provokasi

Myvi diterbalikkan orang ramai di Johor selepas pemandunya rempuh motosikal, buat provokasi

Pagi tadi tular di media sosial video yang memaparkan insiden sebuah Perodua Myvi diterbalikkan oleh orang ramai yang kelihatan marah. Dalam beberapa siri video yang tular tersebut, dapat dilihat selepas Myvi berkenaan terbalik dengan keempat-empat tayar ke atas, ia terus dirosakkan oleh orang ramai.

Difahamkan insiden tersebut berlaku di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, Johor. Ia berlaku susulan kemalangan melibatkan Perodua Myvi itu yang tidak berhenti di lampu isyarat merah dan kemudian melanggar sebuah motosikal ditunggang seorang penghantar makanan. Menurut laporan dari akhbar Kosmo, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 10.15 malam semalam.

Menurut seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Akmal, kejadian bermula apabila pemandu kereta Perodua Myvi itu bertindak melanggar lampu merah ketika di simpang empat Jalan Kota Masai 2, pada masa sama penunggang motosikal terbabit sedang berjalan terus dengan agak laju.

“Kedua-dua kenderaan gagal mengelak menyebabkan mereka bertembung. Akibat itu, penunggang motosikal yang juga merupakan seorang penghantar makanan mengalami kecederaan patah kaki.

“Pemandu itu cuba melarikan diri tetapi laluan terhalang menyebabkan dia memasuki stesen minyak berhampiran, sebelum dia dikerumuni orang ramai,” kata saksi berkenaan kepada akhbar itu.

Tambah saksi itu lagi, selepas kejadian berkenaan dua kereta peronda polis tiba di tempat kejadian dan membawa pemandu kereta tersebut ke kereta peronda dipercayai untuk memastikan keselamatannya. Walau bagaimanapun, pemandu berkenaan membuat provokasi dengan mengejek orang ramai ketika dia sudah selamat berada dalam kereta peronda polis.

“Itu punca segelintir pihak bertindak memecahkan cermin tingkap kereta berkenaan menggunakan topi keledar sebelum beberapa individu lain menterbalikkan kereta itu,” kata saksi tersebut.

Walau bagaimanapun, dalam satu lagi video yang tular, iaitu rakaman dashcam dari Myvi berkenaan membuktikan bahawa lampu masih belum bertukar kuning ketika ia tiba di persimpangan berkenaan. Tetapi ia sudah berkelip memberi amaran bahawa ia hampir bertukar kuning, membuktikan bahawa penunggang penghantar makanan tersebut yang sebenarnya melanggar lampu merah.

Namun kami nasihatkan orang agar tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya berlaku kejadian seperti ini. Ini kerana ia mungkin akan menyusahkan anda kelak sekiranya didakwa melakukan rusuhan, merosakkan harta dan sebagainya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required