Perkhidmatan LRT Kelana Jaya malam ini (7 November) terhenti, menurut kemaskini semasa yang dimaklumkan dalam rantaian hantaran melalui akaun Twitter @AskRapidKL bermula sekitar jam 10 malam sebentar tadi. Dalam makluman yang terkini ketika artikel ini ditulis, pihak Rapid KL memaklumkan bahawa perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya, dari stesen Gombak ke stesen Kelana Jaya akan ditamatkan pada 11.15 malam.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan punca yang menyebabkan gangguan perkhidmatan LRT berkenaan melainkan berlaku gangguan teknikal di antara stesen KLCC dan stesen Kelana Jaya. Turut dinyatakan, stesen LRT Kelana Jaya hingga stesen LRT Ampang Park juga ditutup kepada pengguna. Pengguna yang terkesan dinasihatkan untuk mengambil bas pengantara percuma atau mod pengangkutan lain.

Dalam beberapa hantaran yang menyusul kemudian, Rapid KL memaklumkan sejumlah lapan buah bas perantara percuma telah disediakan untuk membawa penumpang dari stesen KLCC, Pasar Seni dan Kelana Jaya. Penumpang diminta untuk mendapatkan bantuan polis bantuan yang berada di lokasi.

Perkhidmatan bas perantara percuma ini juga dimaklumkan akan dilanjutkan hingga jam 1 pagi nanti. Sementara itu, perkhidmatan LRT laluan Ampang/Sri Petaling di stesen Masjid Jamek dan MRT laluan Kajang di Stesen Pasar Seni juga akan dilanjutkan hingga 1 pagi.

Kepada yang terkesan dengan perkembangan ini diharap kekal tenang, dan terus ikuti perkembangan semasa di Twitter @AskRapidKL dan berhubung dengan individu bertugas di lokasi untuk maklumat lanjut.