LRT Laluan Kelana Jaya alami gangguan teknikal berulang – perkhidmatan tren dihentikan sementara

LRT Laluan Kelana Jaya alami gangguan teknikal berulang – perkhidmatan tren dihentikan sementara

Sekali lagi dilaporkan buat masa ini, LRT Laluan Kelana Jaya mengalami gangguan mekanikal sehingga memaksa pengendalinya, Rapid Rail, terpaksa menghentikan perkhidmatan tren ini sehingga dimaklumkan. Menurut laman media sosial rasmi Rapid KL yang mula memaklumkan masalah ini berulang sejak dua jam yang lalu dengan menghebahkan tiada perkhidmatan tren di antara Stesen KLCC hingga ke Stesen Kelana Jaya. Malah penumpang dinasihatkan untuk mengambil mod pengangkutan alternatif.

Kemudian, dimaklumkan pula bahawa perkhidmatan tren perantara diaktifkan antara Stesen Gombak – Stesen Damai dan Stesen Ara Damansara – Stesen Putra Heights. Di mana tren dari Stesen Putra Heights berpatah balik di Stesen Ara Damansara manakala tren dari Stesen Gombak pula terpaksa berpatah balik di Stesen Damai.

Ekoran masalah ini menyulitkan para penumpang, Rapid Rail telah menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma untuk stesen LRT yang terlibat iaitu Stesen Lembah Subang–Stesen Pasar Seni dan Stesen Masjid Jamek–Stesen Damai. Di mana bas perantara terbabit akan berhenti di mana-mana stesen LRT di sepanjang laluan berkenaan. Dalam masa yang sama, Stesen LRT Kelana Jaya sehingga Stesen LRT Ampang Park telah ditutup kepada pengguna.

Pagi tadi, Rapid Rail telah mengadakan sidang media mengenai isu gangguan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya ini. Menurut syarikat ini, sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) yang tidak stabil telah mengakibatkan gangguan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya bermula pada 5 November 2022. Ini telah menyebabkan tren terpaksa dipandu secara manual di antara Stesen KLCC dan Stesen Ampang Park serta tren berhenti lebih lama di platform. Ia juga telah mengganggu keseluruhan jadual perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya.

“Isu tersebut yang mula dikesan pada tengahari Sabtu telah dapat diselesaikan pada awal pagi Ahad (6 November). Namun demikian, masalah yang sama telah berulang pada Isnin (7 November). Pihak Rapid Rail telah menggerakkan anggota Polis Bantuan dan kakitangan sokongan bagi mengawal keadaan serta penumpang di platform dan stesen-stesen yang terlibat.

“Setelah berakhirnya waktu operasi, pasukan jurutera dan teknikal, dibantu oleh pihak Thales Group di Kanada selaku pengilang peralatan asal (OEM) telah menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar gangguan tersebut,” kata kenyataan yang dikeluarkan.

Pada jam 5.30 pagi tadi, selepas kumpulan jurutera terbabit telah dapat menstabilkan sistem ATC itu, perkhidmatan tren telah dimulakan. Walau bagaimana pun, sekitar jam 4 petang tadi, masalah yang sama berulang kembali hingga memaksa Rapid Rail menghentikan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya.

Menerusi Facebook Rapid KL, isu ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan para pengguna LRT. Malah ada yang mengatakan terpaksa mengeluarkan kos pengangkutan yang lebih tinggi termasuk menaiki perkhidmatan e-hailing untuk ke lokasi tertentu setelah berhadapan dengan isu LRT ini. Selain mengadu, perkara sebegini sangat membuang masa, bukan setakat terlewat sampai ke rumah, malah ada yang terpaksa menunggu di dalam tren yang sesak dalam tempoh waktu yang lama kerana tren tidak dapat atau lewat meneruskan perjalanan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required