Selepas menunjukkan sedikit wajah depan Toyota Innova generasi ketiga bulan lalu, pengeluarnya mengesahkan yang MPV terbaru itu nanti akan turut ditawarkan dalam versi hibrid. Ini berdasarkan imej yang ditunjukkan di laman sosial Toyota Indonesia dan juga laman web rasminya.

Nampak jelas lencana “Hybrid” di pintu, lencana yang sama dilihat pada Corolla Cross Hybrid yang ada di sini. Lain-lain rekabentuk yang kelihatan adalah lengkuk roda lebih ketara, garis tengah badan yang lebih tinggi dan bumbung lebih rendah.

Spyshot dari Kompas juga menunjukkan lebih banyak wajah depan MPV tersebut, dengan rekaan gril hexagonal besar dan lampu utama bersegi, sementara apron bawahnya menampilkan perincian bentuk H lebar dengan warna kontras dari warna badan.

Innova terbaru ini akan menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) dan bukan casis IMV asas dari Hilux yang digunakan sebelum ini. Untuk ini, ia juga akan beralih daripada kenderaan pacuan belakang menjadi kenderaan pacuan roda depan.

Platform TNGA dibangunkan untuk dapat memanfaatkan sistem janaan dengan elektrifikasi seperti yang pernah kita lihat pada Corolla Cross Hybrid dan Lexus UX300e EV. Sistem janaan yang sama dalam Corolla Cross Hybrid boleh digunakan untuk Innova bagi memberikan output sistem 122 PS, dengan unit enjin 2ZR-FXE 1.8 liter kitaran Atkinson (98 PS/142 Nm), eCVT dan motor elektrik (72 PS/163 Nm).

Di masa akan datang, tidak mustahil akan ada versi elektrik sepenuhnya, memandangkan Toyota pernah menunjukkan Kijang Innova EV Concept, walaupun ini tidak akan diproduksi kerana menggunakan platform IMV. Peralihan kepada platform TNGA mungkin jadi penyelesaian yang terbaik.

Menurut Kompas, Innova serba baru akan dilancarkan pada 17 November ini, dengan varian hibrid dijangka akan menggunakan nama Innova Zenix Hybrid. Jangkaan harga jualannya ialah 455 juta rupiah (RM137,745). Kijang Innova sedia ada misalnya dalam varian pertengahan V dijual pada harga 422.9 juta rupiah (RM128,027), sementara varian paling tinggi Venturer pada harga 494.4 juta rupiah (RM149,653).