Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah menyerahkan tiga unit trak pikap 4×4 Triton kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM). Triton berkenaan akan digunakan oleh NGO terbabit untuk kelancaran misi banjir, termasuk penghantaran logistik bagi makanan, bekalan ubat-ubatan dan bantuan kemanusian.

PBSM menjangkakan monsun timur laut yang akan melanda negara bakal membawa hujan lebat dari November 2022 hingga Mac 2023. Malahan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga memaklumkan PBSM bahawa walaupun banjir monsun berlaku setiap tahun di kawasan berisiko yang dikenal pasti, bahagian lain di Malaysia juga mungkin menghadapi banjir kilat terutamanya di bandar.

“Selaras dengan aktiviti sumbangan sosial Mitsubishi Motors Corporation, syarikat kami sentiasa berusaha sedaya upaya untuk menyediakan pelbagai sokongan sebagai respons kepada bencana atau situasi kecemasan. Di peringkat tempatan, kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan PBSM, sebuah NGO yang menumpukan perkhidmatan kemanusiaan,” kata Shinya Ikeda, Ketua Pegawai Eksekutif MMM.

Tambah beliau lagi, “Kami yakin Triton mampu membantu PBSM untuk merentasi keadaan jalan yang paling teruk akibat hujan lebat seperti jalan yang sangat licin, bentuk muka bumi yang tidak rata, dan jalan ditenggelami air yang semuanya mampu diharungi oleh Triton.”

PBSM telah terlibat dalam tindak balas bencana selama lebih enam dekad. Peranannya adalah berdasarkan garis panduan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai agensi peneraju pengurusan bencana dan keselamatan negara di Malaysia. Perkhidmatan yang ditawarkan oleh NGO ini termasuk bantuan awal dalam kesiapsiagaan bencana, bantuan bencana semasa dan selepas tragedi, serta pemulihan bencana.