Polis beri amaran buat pesalah lawan arus – penjara 5 tahun, denda minima RM5k jika disabit kesalahan

Polsi DiRaja Malaysia (PDRM) sekali lagi mengulangi amaran buat mana-mana pemandu atau penunggang motosikal yang melakukan kesalahan melawan arus trafik, bersedialah untuk berhadapan hukuman penjara dan denda jika disabit kesalahan.

Menurut perkongsian menerusi Facebook rasminya, PDRM berkata, mana-mana pemandu dan penunggang yang melakukan kesalahan melawan arus trafik termasuk yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain, boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 42(1), Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan.

“Sekiranya didapati bersalah, pengguna jalan raya boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 serta tidak melebihi RM15,000. Seseorang yang disabitkan di bawah seksyen ini juga hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun dari tarikh sabitan,” kata kenyataan yang dikeluarkan.

Apa jua tindakan anda sewaktu berada di jalan raya, jangan fikir nak ‘lepaskan’ diri sendiri sahaja. Tolong fikirkan sekali keselamatan orang lain. Jangan disebabkan kealpaan anda, orang lain yang menerima padah.