Januari lalu, VinFast mempersembahkan tiga kenderaan elektrik baru di pameran Consumer Electronics Show (CES) — VF5, VF6 dan VF7. Tiga model itu kemudiannya disertai oleh model VF8 dan VF9 yang sejak itu mula dijual di Amerika Syarikat, dengan harga USD54,990 (RM241,901) jika dengan langganan bateri, atau dari USD64,990 (RM285,826) tanpa langganan tersebut.
Ketika itu, VF5, VF6 dan VF7 tidak diperkenalkan sebagai kenderaan yang sedia untuk diproduksi sehinggalah ketika pameran Los Angeles Auto Show 2022. Ketika acara itu, pengeluar Vietnam itu menunjukkan rekaan luaran dan dalaman SUV elektrik itu — VF6 dan VF7 — yang direka oleh Torino Design.
Diposisikan di bawah VF8 dan VF9, VF7 dari segmen C merupakan SUV saiz sederhana dengan ukuran 4,545 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,636 mm tinggi dan jarak antara roda 2,840 mm. Rekaan yang ditampilkan juga sangat sinonim dengan yang pernah ditunjukkan oleh jenama ini: jalur lampu berkelebaran penuh dengan disertai logo VinFast — dengan rekaan lampu belakang yang juga tirus.
Di dalam, skrin infotainmen disudutkan kepada pemandu, begitu juga dengan corong udara serta barisan butang kawalan yang ada. Untuk pemandu, tiada kluster instrumen konvensional disediakan, sebaliknya ia dipaparkan di skrin sentuh besar atau maklumatnya dipancarkan ke head-up display yang ada. Di konsol tengah pula ada pengecas tanpa wayar, tombol kawalan media, ruang cawan, slot USB dan perehat lengan.
VF7 akan didatangkan dalam dua varian di AS, dengan paling asas ialah Eco, memanfaatkan motor elektrik di depan yang menjana 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 310 Nm tork. Pilihan lebih tinggi ialah Plus, dengan tambahan motor elektrik kedua untuk sistem pacuan semua roda dan output keseluruhan 354 PS (349 PS atau 260 kW) dan 500 Nm.
Bagi VF6 yang berada dalam segmen B, ia juga hadir dalam varian Eco dan Plus, dengan varian Plus mempunyai output yang sama dengan VF7 dalam versi pacuan depannya yang asas. VF6 Eco, yang juga pacuan depan, mempunyai motor elektrik yang kurang kuasanya dengan hanya 177 PS (174 hp atau 130 kW) dan 250 Nm. Perincian bateri belum didedahkan, tetapi dinyatakan jaminannya adalah untuk 10-tahun, tanpa had perbatuan bagi bateri EV.
Ruang dalaman VF6 sama juga dengan VF7, dengan rekaan kokpit yang cenderung kepada pemandu, tetapi dengan konsol tengah yang lebih pendek dan tidak bersambung dengan bahagian bawah papan pemuka. Rekaannya juga kurang dinamik, namun tetap menampilkan rekaan lampu yang mirip. Dari segi dimensi VF6 mempunyai ukuran 4,238 mm panjang, 1,820 mm lebar, 1,594 mm tinggi dan jarak antara roda 2,730 mm.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.