Setelah menerima aduan dari orang awam berkenaan kumpulan remaja lelaki yang menunggang basikal lajak, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Petaling Jaya telah menjalankan operasi penguatkuasaan di kawasan PJS 1 hingga PJS 5 pada 1 dan 3 Disember lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dalam laporan Harian Metro, sepanjang operasi itu seramai 52 penunggang basikal lajak diperiksa membabitkan individu seawal usia sembilan hingga 14 tahun.

“Sebanyak 11 keping saman Pol 257 dikeluarkan mengikut kaedah 42(1) ln 165/59 yang menyatakan tiada seorang pun boleh menunggang basikal di atas jalan melainkan dilengkapi dengan brek efektif yang beroperasi secara berasingan pada kedua-dua tayar.

“Tangkapan dan 15 sitaan basikal dilakukan mengikut Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membolehkan penunggang basikal lajak ditangkap tanpa waran seperti diperuntukkan Seksyen 112(1)(a) akta sama,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Beliau turut memberitahu bahawa ibu-bapa dan penjaga kepada setiap penunggang basikal lajak bawah umur ini sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan diberi peringatan mengenai tanggungjawab mengawasi dan memastikan keselamatan anak masing masing.

“Selain itu, ibu bapa kepada anak yang terbabit dalam kegiatan basikal lajak hingga membahayakan diri dan pengguna jalan raya boleh dikenakan denda tidak lebih RM20,000 atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali, mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.