Cukup satu tahun sejak ia diperkenalkan kali pertama kepada dunia, Ducati Desert X kini tiba di Malaysia pada harga RM112,900 tidak termasuk insurans. Walaupun baru dilancarkan secara rasmi, 20 unit motosikal ini sudah dijual dan kumpulan seterusnya akan tiba pada bulan Mac 2023.

Desert X adalah sebuah motosikal jenis dual purpose yang dibuat oleh Ducati dengan konsep rekaan menggabungkan elemen moden serta inspirasi daripada jentera lumba rali tahun 80-an jenama itu. Penggeraknya merupakan enjin v-twin Testastretta 937 cc yang mampu menghasilkan 110 hp pada 9,250 rpm dan 92 Nm tork pada 6,500 rpm. Meskipun mempunyai persamaan dengan Multistrada V2, transmisi enam kelajuan pada Desert X ini telah diubah dengan nisbah gear satu dan dua yang lebih pendek.

Kelebihan utama Desert X adalah prestasi tunggangan kedua-dua, atas jalan biasa dan offroad. Untuk itu, ia disediakan dengan enam mod tunggangan termasuk Sport, Touring, Urban, Wet, Enduro dan Rally. Untuk mod Enduro, kuasa dikurangkan supaya mudah dikawal atas jalan offroad sementara dalam mod Rally pula, kuasa penuh diberi, tetapi dengan campur tangan elektronik yang kurang, sekaligus memberikan kawalan penuh kepada penunggang.

Tiada mod khas Custom pada motosikal ini, tetapi pada setiap enam mod yang disediakan, penunggang boleh mengubah tahap campur tangan sistem elektronik seperti Ducati Traction Control (DTC) dan Cornering ABS (ada tiga tahap dan boleh ditutup terus apabila dalam mod Enduro dan Rally). Desert X juga disediakan dengan Ducati Wheelie Control (DWC) dan Ducati Quick Shift (DQS) Up & Down.

Informasi penting motosikal dipaparkan pada skrin TFT-LCD lima inci dan fungsi sambungan bluetooth kepada telefon pintar disediakan sebagai pilihan tambahan (harga dalam jangkaan RM2k-RM4k bagi pasaran Malaysia). Pengguna juga boleh memilih dua mod paparan pada unit instrumen ini.

Saiz rim Desert X mengikut seperti jentera offroad dengan saiz 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dengan merupakan unit spoked dan dibalut tayar Pirelli Scorpion Rally STR. Brek adalah daripada Brembo, dengan tetapan cakera berkembar 320 mm serta angkup M50 di hadapan dan cakera 265 mm dan angkup dua piston di belakang.

Suspensi pula menggunakan unit daripada Kayaba dan boleh dilaras sepenuhnya untuk pra beban, mampatan dan lantunan. Bahagian hadapan menggunakan fork USD dengan jarak gerak 230 mm manakala bahagian belakang menggunakan monoshock dengan jarak gerak 220 mm. Tinggi Desert X dari tanah adalah 250 mm manakala tinggi tempat duduknya adalah 875 mm dalam keadaan standard. Berat keseluruhan adalah 202 kg.

Harga yang dinyatakan adalah untuk model dalam keadaan standard, tetapi pelanggan juga diberi pilihan empat pakej lain dengan harga antara RM3,570 hingga RM14,280. Antara aksesori yang diberi dalam pakej ini adalah seperti beg barangan, ekzos Termignoni, pelindung enjin, lampu dan radiator, tempat duduk Rally serta tangki bahan api lapan liter di belakang sebagai tambahan kepada tangki 21 liter standard di depan.

GALERI: Ducati Desert X