BMW 3 Series 2023 G20 facelift kini di Malaysia — tiga varian M Sport bagi 320i, 330i, 330e; dari RM264k

BMW 3 Series 2023 G20 <em>facelift</em> kini di Malaysia — tiga varian M Sport bagi 320i, 330i, 330e; dari RM264k

BMW Malaysia hari ini melancarkan model BMW 3 Series facelift 2023 untuk pasaran Malaysia. Merupakan model pemasangan tempatan, ia ditawarkan dalam tiga varian: 320i M Sport, BMW 330i M Sport dan BMW 330e M Sport, dengan harga jualan masing-masing RM263,600 (RM283,800 dengan pakej lanjutan jaminan dan servis), RM297,600 (RM317,800 dengan pakej lanjutan jaminan dan servis) dan RM278,600 (RM298,800 dengan pakej lanjutan jaminan dan servis) harga atas jalan dan tidak termasuk insuran. Selain daripada tiga varian ini, akan ada dua lagi varian BMW 3 Series terbaru ini yang akan diperkenalkan pada Mac nanti, dijangka varian M340i dan 330Li.

BMW 3 Series 2023 ini menyerlahkan lagi imej ikonik dengan rekaan luaran yang sporty dan penampilan dinamiknya ke tahap yang baru. Bahagian depan terus dihiasi dengan rekaan “kidney grille” yang baru, menampakkannya lebih besar dan muscular.

Lampu utama LED juga telah diberikan rekaan baru yang menampakkan kereta ini lebih lebar, termasuk di dalamnya lampu DRL dalam bentuk L terbalik. Bahagian apron juga diberi sentuhan baru, dengan masih menempatkan bukaan tirai udara yang menjadi ciri khas BMW — mengapit bukaan tengah yang hadir dengan corak honeycomb dari pakej M Sport yang ditawarkan standard untuk semua varian.

BMW 3 Series 2023 G20 <em>facelift</em> kini di Malaysia — tiga varian M Sport bagi 320i, 330i, 330e; dari RM264k

Dilihat dari sisi, BMW 3 Series 2023 facelift ini terserlah dengan imej dan garis sporty yang diperkemas. Jarak antara rodanya panjang, begitu juga dengan bonet dan bahagian overhang yang pendek. Rim pula menggunakan saiz 18-inci M jejari berkembar Style 848 M Bicolour. Logo M turut menghiasi bahagian sisinya, dan dilengkapi juga dengan M Sport Suspension bagi varian petrol, sementara varian BMW 330e M Sport memanfaatkan Adaptive M Suspension.

Bahagian belakang sedan ini tampil lebih menarik dan segar dengan penggayaan sporty, ditonjolkan antaranya dengan dua corong ekzos yang ditambah menjadi 100 mm diameternya, disertai juga bahagian diffuser yang tambah mengemaskan penampilannya. Pakej M Aerodinamic dan M High-gloss Shadowline melengkapkan lagi sisi ranggi berkenaan, kedua-duanya datang sekali bersama M Sport Package.

Di dalam, pengenalan ciri BMW Curved Display menyuntik tahap kecanggihan dan pendigitalan baru kepada BMW 3 Series ini. Dengan paparan maklumat 12.3-inci dan paparan kawalan skrin sentuh 14.9-inci disepadukan dalam satu rekaan tanpa bingkai yang menawan.

BMW 3 Series 2023 G20 <em>facelift</em> kini di Malaysia — tiga varian M Sport bagi 320i, 330i, 330e; dari RM264k

Walaupun BMW Curved Display menempatkan pelbagai kawalan, fungsi keselamatan serta yang kerap digunakan masih boleh di kawal melalui butang kawalan fizikal — yang direka untuk memudahkan pemandu, dan terletak di bawah corong pendingin. Rekaan yang ditampilkan ringkas, dan lebih mementingkan fungsi kepenggunaan. Semua varian juga hadir dengan paddle shifter.

BMW 3 Series 2023 ini meneruskan tradisi sedia ada dengan menawarkan agihan berat depan/belakang dalam nisbah 50:50, jejak yang lebar, badan teguh, pusat graviti rendah dan teknologi casis yang cemerlang bagi menjamin dinamik pemanduan yang mantap.

BMW 320i M Sport terbaru ini menggunakan enjin 2.0L empat-silinder sebaris yang menghasilkan sebanyak 184 hp (135 kW) dan 300 Nm tork, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 7.4 saat dengan laju maksimum dihadkan kepada 235 km/j.

BMW 3 Series 2023 G20 <em>facelift</em> kini di Malaysia — tiga varian M Sport bagi 320i, 330i, 330e; dari RM264k

Bagi BMW 330i M Sport, enjin 2.0L empat-silinder sebarisnya menghantar kuasa maksimum 258 hp (190 kW) dan 400 Nm tork, dengan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam 5.8 saat sementara laju maksimum dihad kepada 250 km/j.

Sistem pacuan plug-in hybrid pada BMW 330e M Sport terbaru ini pula memberikan output gabungan 292 hp (215 kW) dan 420 Nm tork, dari enjin 2.0L, dengan motor elektrik yang menyediakan 109 hp (80 kW) dan 265 Nm tork, dengan 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat juga.

Ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 5.8 saat, dengan laju maksimum dihadkan kepada 230 km/j (laju maksimum untuk pacuan elektrik adalah 140 km/j). Sebagai penawaran standard, semua varian BMW 3 Series ini dipadankan dengan transmisi Steptronic Sport lapan-kelajuan.

Kelengkapan lain pada model ini termasuklah BMW Live Cockpit Professional, yang dikuasakan oleh versi terkini BMW Operating System 8. Terdapat juga beberapa cara intuitif untuk berinteraksi dengan kenderaan — bahasa melalui BMW Intelligent Personal Assistant, operasi skrin sentuh menggunakan Control Display, BMW iDrive Controller dan akses kawalan langsung melalui sentuhan. Live Cockpit Professional dengan BMW Head-Up Display juga tersedia.

Lain-lain ciri digital pada model ini termasuk Comfort Access, Remote Software Update dan BMW ID. Bagi Connected Package Professional, yang termasuk perkhidmatan digital seperti Remote Services, Apple CarPlay® dan Android Auto juga ditawarkan dengan BMW 3 Series baru ini — sebuah penawaran standard bagi model BMW bermula 2023. Melalui My BMW App, pemandu juga boleh mengakses fungsi sokongan lain untuk pengalaman mobiliti yang lebih mudah.

BMW 3 Series 2023 juga didatangkan dengan jaminan menyeluruh daripada BMW Group Malaysia, termasuk jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan dengan program servis berjadual percuma; bantuan tepi jalan dan hotline kemalangan; BMW Group Loyalty+ Mobile App — BMW Privileges Card; dan BMW Service Online.

BMW 320i M Sport 2023

BMW 330e M Sport 2023


BMW 330i M Sport 2023

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

 

Add a comment

required

required