Baru-baru ini, Dinamikjaya Motors Sdn Bhd selaku pengedar rasmi Kia bagi pasaran Malaysia telah mempertontonkan SUV Kia Sorento 2023 sempena majlis makan malam bersama pihak media. Sebelum ini, Sorento generasi ke-empat direncanakan bakal dilancarkan di pasaran tempatan pada hujung tahun lalu. Namun rancangan itu tertunda ekoran disebabkan faktor yang tidak dapat dielakkan.

Walau bagaimana pun, Dinamikjaya Motors Sdn Bhd telah mengesahkan Sorento 2023 ini bakal dilancarkan pada suku pertama tahun ini, dan merupakan unit pemasangan tempatan (CKD) yang diproduksi di kilang pemasangan milik Inokom di Kulim, Kedah.

Ia bakal ditawarkan dengan dua jenis bentangan tempat duduk iaitu konfigurasi tujuh-tempat-duduk (bentangan 2-3-2) bagi varian asas Smartstream 2.5L MPI 2WD. Manakala bagi konfigurasi enam-tempat duduk (2-2-2) pula diberikan dua pilihan varian iaitu Smartstream 2.5L MPI 4WD dan Smartstream 2.2L Turbo CRDi 4WD.

Bagi kedua-dua varian enjin 2.5L Smartstream petrol, ia dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan yang mampu memberikan kuasa hingga 177 hp pada 6,000 rpm dan tork 232 Nm pada 4,000 rpm. Ia boleh mencapai kelajuan maksimum hingga 195 km/j.

Manakala untuk enjin Smartstream 2.2L turbo CRDi diesel, ia ditampilkan dengan unit baharu bagi transmisi dwi-klac basah dengan lapan-kelajuan (8DCT) yang direkabentuk bagi menawarkan penukaran gear yang lebih lancar dan mampu memberikan penjimatan bahan api. Enjin ini mampu menghasilkan hingga 199 hp pada 3,800 rpm dan tork 440 Nm dari 1,750 hingga 2,750 rpm. Padanan penjana kuasa ini mampu memberikan kelajuan maksimum hingga 205 km/j.

Sorento 2023 ini dibangunkan dengan platform crossover saiz pertengahan N3 baharu dari Hyundai dan diberikan rekaan yang lebih moden serta menyerlah berbanding model sebelumnya. Ia memiliki ukuran dimensi 4,810 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,695 mm tinggi (+5 mm bagi varian diesel) dan jarak roda cecah 2,815 mm. Ia juga mempunyai jarak kelegaan tanah hingga 176 mm.

Dengan konsep ‘refined boldness’, Sorento 2023 menampilkan imej estetika, elegan dan sporty. Bahagian hadapan Sorento 2023 kini tampil bersama gril ‘tiger nose’ interpretasi gaya baharu Kia dengan bentuk yang lebih lebar. Ia turut disepadukan bersama lampu utama yang turut menampilkan lampu nyalaan siang LED ‘tiger eyeline’ baharu.

Untuk ruang kabinnya, Kia berkata, ia diberikan kualiti material yang dipertingkatkan bagi menambah elemen sofistikated dengan gabungan kemasan metalik, upholstery kulit dan sulaman efek kayuan pada permukaan.

Antara ciri kelengkapan yag diberikan untuk Sorento 2023 termasuklah kluster intrumen pemandu digital 12.3-inci yang dipadankan bersama sistem infotainmen 10.25-inci yang terletak di tengah papan pemuka. Selain itu, ia turut diberikan pengecas tanpa wayar bagi telefon pintar yang ditempatkan di konsol tengah, sistem bunyi BOSE®, ketersambungan Apple Carplay dan Android Auto.

Bagi aspek keselamatan, Sorento 2023 dilengkapi dengan enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Kawalan Brek Pelbagai-Pelanggaran (MCB), Kawalan Bantuan Naik Bukit (HAC) dan cagak Isofix.

Perincian penuh mengenai Sorento 2023 ini akan didedahkan sewaktu ia dilancarkan tidak lama lagi. Begitu juga dengan harganya, namun Dinamikjaya Motors Sdn Bhd mengesahkan tempahan bagi Sorento 2023 kini telah dibuka dan anggaran harganya bermula RM220,000 hingga RM255,000.

GALERI: Kia Sorento Smartstream 2.5L MPI 4WD 2023

GALERI: Kia Sorento Smartstream 2.2L Turbo CRDi 4WD 2023