Satu video tular di laman media sosial petang ini yang memaparkan kejadian seorang penunggang motosikal bersama anak kecil terjatuh di jalan raya selepas motosikal tersebut bergesel dengan sebuah BMW 3 Series. Kejadian ini berlaku berhampiran dengan persimpangan Endah Parade, Sri Petaling, dirakamkan oleh pemilik akaun Facebook Zoul BraveSlick.

Menerusi rakaman terbabit, penunggang motosikal berkenaan didapati cuba menukar lorong dari kiri dan memasuki lorong kanan namun tergesel dengan BMW berkenaan. Lantaran tindakan tersebut, seorang anak kecil yang dipercayai duduk dibakul motosikal tersebut terjatuh dan penunggang terbabit bersama motosikalnya turut terpelanting menghentam pembahagi jalan.

Anak kecil berkenaan yang tidak dipakaikan topi keledar kelihatan terkejut dan cuba untuk bangun sebelum pemandu BMW berkenaan bergegas keluar kereta dan mengangkatnya.

Menurut Zoul menerusi entri di FB, penunggang motosikal terbabit hanya mengalami kecederaan ringan, manakala anak kecil berusia sekitar dua hingga tiga tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Rata-rata netizen yang menonton video ini meluahkan rasa kekesalan kerana tindakan penunggang motosikal berkenaan yang kemungkinan bapa pada anak kecil itu kurang menitikberatkan soal keselamatan dirinya dan anaknya sendiri. Mujur kenderaan yang dipandu Zoul yang berada di belakang BMW tidak berada dalam keadaan laju dan kelihatan pada mulanya hendak memasuki simpang kiri namun pantas ke lorong kanan untuk menghalang kenderaan lain terlanggar anak kecil berkenaan.

Bersyukur penunggang dan si kecil selamat dari kecelakaan yang lebih mengerikan, namun diharap kejadian ini menjadi iktibar kepada semua penunggang motosikal agar memastikan pemboncengnya turut memakai topi keledar waima melibatkan kanak-kanak. Serta tolonglah berhati-hati sewaktu menunggang motosikal. Malang memang tidak berbau, tetapi InsyaAllah boleh dielakkan sekiranya semua pengguna jalan raya sentiasa berhemah di dalam pemanduan.

Kemaskini jam 8.35 malam:
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur telah memaklumkan pihaknya sedang mengesan pemilik kenderaan iaitu kereta dan motosikal yang terlibat di dalam insiden yang diperkatakan ini.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat tentang kejadian tersebut boleh menghubungi Balai Trafik Jalan Bandar di talian 03-2071999 atau mana-mana balai polis terdekat. Pemilik rakaman Dash Cam bagi video ini juga diminta tampil memberi maklumat,” kata JSPT KL menerusi kenyataan yang dimuat naik menerusi FB sebentar tadi.