Pihak pengurusan KL Car Free Morning (KLCFM) telah mengumumkan acara berkenaan tidak akan dilangsungkan pada Ahad ini, 22 Januari 2023. Ini susulan hari pertama Tahun Baharu Cina yang bakal disambut pada Ahad ini, yang juga merupakan cuti umum untuk seluruh negara.

Walau bagaimana pun, difahamkan, KLCFM akan dilaksanakan pada tarikh yang bakal dimaklumkan kelak. Jadi para peminat KLCFM yang sememangnya menanti untuk melakukan aktiviti termasuk larian dan berbasikal di sekitar ibu kota secara bebas perlulah bersabar untuk menunggu tarikh yang akan diuar-uarkan itu.

Untuk yang bakal pulang ke kampung halaman atau pun pergi ke mana-mana destinasi di semenanjung Malaysia dengan memandu sendiri, anda digalakkan untuk mengikut saranan pengendali lebuhraya termasuk Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT) yang mengeluarkan jadual cadangan waktu perjalanan (TTA) masing-masing untuk tempoh musim cuti Tahun Baharu Cina ini.

Sila pastikan kenderaan anda selamat untuk dipandu, kesihatan anda juga berada dalam tahap terbaik untuk memandu dan baki kad Touch ‘n Go (TNG) atau e-wallet mencukupi untuk pembayaran tol. Ops! Jangan lupa semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan pemberian kadar tol percuma di seluruh negara untuk tarikh 21-22 Januari sempena Tahun Baharu Cina. Selamat bercuti!