Kementerian Pengangkutan dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah melancarkan inisiatif baharu iaitu pas perjalanan tanpa had MyRailLife yang diberikan secara percuma kepada pelajar sekolah dan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi meringankan beban mereka yang menggunakan perkhidmatan kereta api.
Pas perjalanan tanpa had MyRailLife ini dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dalam majlis yang berlangsung semalam, dan sudah boleh didapati bermula 15 Februari 2023.
Menurut KTMB, pas perjalanan tanpa had MyRailLife ini boleh dinikmati oleh warganegara Malaysia iaitu pelajar sekolah dari Tahun 1 sehingga Tingkatan 6 serta golongan OKU yang telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Pelaksanaan pas percuma ini dijangka dapat mengurangkan kos pengangkutan kepada 500 ribu orang pelajar sekolah dan OKU setahun yang menggunakan perkhidmatan KTM Komuter sector Lembah Klang dan Utara serta perkhidmatan Shuttle Timuran,” kata KTMB dalam kenyataan yang dikeluarkan.
MyRailLife merupakan pas percuma yang boleh digunakan tanpa had bagi perkhidmatan KTM Komuter sektor Lembah Klang, Utara dan Perkhidmatan Shuttle Timuran. Bagi KTM Komuter sektor Lembah Klang, ia terdiri daripada laluan Pulau Sebang – Batu Caves – Pulau Sebang dan laluan Pelabuhan Klang – Tanjung Malim – Pelabuhan Klang.
Sementara, bagi perkhidmatan Komuter sektor utara laluan Padang Rengas – Butterworth – Padang Rengas dan laluan Butterworth – Padang Besar – Butterworth. Perkhidmatan tren KTM Shuttle Timuran (DMU) ialah bagi sektor laluan Gemas -Tumpat – Gemas.
Para pelajar sekolah dan OKU boleh mula mendaftar MyRailLife melalui aplikasi KTM Mobile (KITS), laman sesawang KTMB atau di kaunter KTMB yang berhampiran.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.