Proton telah pun membuat permulaan yang baik untuk 2023 dengan menjual sebanyak 11,681 unit kenderaan pada Januari lalu, iaitu kenaikan 162% berbanding bulan sama 2022. Momentum berkenaan nampaknya berterusan untuk Februari di mana jenama automotif nasional berkenaan mengumumkan bahawa sebanyak 14,033 unit lagi kenderaan telah berjaya dijual sepanjang bulan lalu.
Jumlah tesebut adalah termasuk jualan domestik dan eksport. Dan dengan kenaikan 20.1% berbanding bulan sebelumnya ini bermaksud Proton telah berjaya menjual sebanyak 25,714 unit kenderaan untuk dua bulan pertama 2023, naik 88% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Dengan jumlah jualan tersebut Proton menganggarkan pegangannya dalam pasaran untuk Februari telah mencapai 22.7%, meningkat sebanyak 7.3% dari bulan Januari, membolehkannya terus kekal sebagai jenama automotif nombor dua paling laris dalam negara.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Proton, jualan kereta di Malaysia terus melonjak untuk bulan kedua berturut-turut dengan anggaran jumlah keseluruhan volum industri (TIV) sebanyak 62,300 unit kerana industri automotif kini sedang bertungkus lumus menyiapkan tempahan yang dibuat semasa tempoh pengecualian cukai jualan yang perlu dihantar sebelum tarikh akhir 31 Mac, bagi memastikan pelanggan menikmati harga dengan insentif tersebut.
Tiga model Proton telah menjadi peneraju dalam segmen masing bulan lalu. Persona kekal sebagai sedan segmen-B paling laris dengan jualan sebanyak 2,313 unit, mengekalkan rekod jualan bulanan melebihi 2,000 unit untuk bulan ketiga. Sebelum ini Persona pernah dijual lebih dari 2,000 unit sebulan untuk lima bulan berturut-turut dari Jun hingga Oktober 2020, dan ini menurut Proton membuktikan “daya tarikannya berbanding pesaing lain sekiranya bekalan komponen tidak terjejas”.
Proton X50 pula berjaya dijual sebanyak 3,247 unit sepanjang bulan Februari, meningkat 11% dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini dan membolehkan ia kekal bukan sahaja sebagai SUV segmen-B paling laris, malah menjadi SUV paling laris di Malaysia secara keseluruhan.
Proton Exora yang tiada saingan terdekat kekal sebagai MPV segmen-C paling laris di Malaysia – ia berjaya dijual sebanyak 336 unit, menjadikan jumlah jualan kumulatif tahun ini berjumlah 668 unit, naik 216% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2022.
Saga kekal sebagai model paling laris Proton untuk Februari dengan jualan sebanyak 6,345 unit, menjadikan jumlah kumulatif 2023 mencecah 11,133 unit setakat ini. Namun dalam saingan sedan segmen-A di Malaysia, Saga masih berada di tempat kedua.
Sementara itu, Proton X70 menyamai prestasinya dari dua bulan pertama tahun 2022 dengan 981 unit diserahkan pada bulan Februari dan 1,914 unit secara keseluruhan untuk tahun ini. Manakala untuk hatchback segmen-B Proton Iriz, ia mencatatkan jualan terbaik sejak Ogos 2022 dengan 811 unit terjual, meningkat sebanyak 156% untuk dua bulan pertama tahun ini.
“Permulaan yang kukuh bagi Proton pada tahun ini mencerminkan populariti tawaran model semasa kami. Sama seperti pesaing kami, banyak volum didorong oleh pemenuhan tempahan yang dikecualikan cukai, tetapi nombor tempahan baharu kami kekal sihat, jadi kami berharap dapat meneruskan trajektori pertumbuhan jualan kami untuk sepanjang tahun ini,” kata Timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah.
“Dalam beberapa bulan akan datang, Proton juga akan membuat beberapa pengumuman untuk membentuk hala tuju syarikat untuk tahun 2023 dan seterusnya. Ini merupakan tahun yang sibuk kerana kami mewujudkan kehadiran kami dalam segmen baharu, memasuki pasaran kenderaan tenaga baharu (NEV) dan melangkah ke depan dalam usaha EV kami apabila jualan smart #1 bermula,” tambahnya lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.