Dasar Automotif Nasional 2020 sentiasa dikaji semula, tiada penambahbaikan diperlukan buat masa ini – MITI

Dasar Automotif Nasional 2020 sentiasa dikaji semula, tiada penambahbaikan diperlukan buat masa ini – MITI

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengesahkan kerajaan sentiasa mengkaji semula Dasar Automotif Nasional (NAP 2020) bagi memastikan ia sejajar dengan perkembangan semasa yang berlaku di dalam dan luar negara.

Menurut Ketua Setiausaha MITI, Datuk Seri Isham Ishak, dasar itu bersifat ‘futuristik’ dan tiada penambahbaikan diperlukan buat masa ini, laporan Bernama.

“NAP 2020 masih dikemas kini dan dipakai dengan baik buat masa sekarang. Ia sentiasa terus disemak di bawah MITI serta Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii). Kami melihat (setiap) perubahan, (sebagai contoh) geopolitik, supaya kami boleh mengubahnya dengan segera dan industri akan dapat menyesuaikan diri dengan perubahan ini melalui sokongan dasar kerajaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Pameran Perdagangan Automotif-Automechanika Kuala Lumpur 2023 pagi tadi.

Tambah beliau, selain NAP 2020, terdapat juga dasar oleh agensi lain yang menyediakan sokongan mikro terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pengeluar, penyedia bahan mentah, syarikat perantaraan yang menghasilkan barangan perantaraan serta pemasang akhir.

“Contohnya, adalah Dasar Kenderaan Elektrik (EV) Nasional yang turut dimasukkan ke dalam Rangka Tindakan Mobiliti Rendah Karbon serta Dasar Pengangkutan Negara untuk memacu penggunaan EV di Malaysia di tengah-tengah peningkatan seruan ke arah alam sekitar, sosial dan tadbir urus di peringkat global.

Penubuhan Pasukan Petugas EV Kebangsaan bertujuan merangkumkan semua dasar berkaitan EV dan menyatukan semua pihak berkepentingan untuk membentuk persefahaman yang sama serta sinergi yang kukuh dalam memastikan semua inisiatif merentasi skop dan bidang kuasa masing-masing dapat digabungkan,” jelasnya lagi.

Beliau turut berkata, pasukan petugas khas ini akan menilai dasar semasa, menggubal dasar baharu dan memantau pelaksanaan agenda EV.

“Sebagai contoh, stesen pengecasan, yang mana kami menerima aduan bahawa Malaysia mempunyai jumlah stesen EV yang amat sedikit tetapi angka ini telah bertambah kepada 900 stesen pengecasan dan banyak lagi akan dibina.

“Pada masa sama, pemilik stesen minyak perlu menyesuaikan diri serta bertindak balas terhadap perubahan ini kerana mereka perlu memenuhi keperluan pengguna pengecasan, yang menggunakan lebih banyak masa berbanding semasa mengisi minyak,” kataya.

Beliau berkata, penyedia telekomunikasi juga mesti dapat menampung kemajuan teknologi yang melengkapkan sesebuah EV.

Dasar Automotif Nasional 2020 sentiasa dikaji semula, tiada penambahbaikan diperlukan buat masa ini – MITI

Sambungnya, “Permintaan yang semakin meningkat untuk kenderaan cekap tenaga bukan saja akan memacu sektor itu tetapi juga segmen nilai tambah yang lain. Sesetengah pemain bergerak ke arah hibrid terlebih dulu sebelum bersedia ke arah EV. Ada yang mencebur terus ke dalam EV seperti pengumuman Tesla baru-baru ini di Malaysia,” katanya.

Isham juga menjangkakan trend baharu membabitkan minat orang ramai terhadap segmen hiburan serta gaya hidup dalam kereta.

“Kami lihat permintaan semakin meningkat untuk hiburan. Permintaan pasaran bagi meningkatkan kenderaan mereka juga bertambah. Jadi, kenderaan bukan sekadar pergerakan tetapi juga ke arah penyesuaian, hiburan dan trend ini juga berubah,” katanya.

“Oleh itu, industri automotif secara keseluruhannya menawarkan nilai menarik untuk pelaburan mereka di Malaysia. Kami melihat banyak pengeluar baharu memasuki Vietnam tetapi kami mesti melihat perspektif keseluruhan.

“Mereka mempunyai lebih 90 juta orang, jadi pasaran mereka adalah jauh lebih besar daripada Malaysia tetapi orang (pelabur) yang datang ke negara ini adalah berbeza kerana daripada segi pembelian kenderaan premium, Malaysia antara yang tertinggi berbanding negara ASEAN yang lain. Jadi, inilah trend yang sedang datang ke dalam industri automotif dan ini merupakan masa yang sangat mengujakan,” katanya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required