Honda Civic Type R FL5 sah akan dilancarkan di Malaysia tahun ini – disertai CR-V 2023 & City facelift

Honda Civic Type R FL5 sah akan dilancarkan di Malaysia tahun ini – disertai CR-V 2023 & City facelift

Selain dari SUV kompak Honda WR-V yang sudah diumum bakal dilancarkan pada suku ketiga tahun ini, dalam majlis bersama media Jumaat minggu lalu Honda Malaysia turut mengesahkan bahawa ia turut akan melancarkan dua lagi model baharu dan satu model facelift untuk tahun ini.

Walaupun tidak disebutkan dengan jelas, salah satu slaid pembentangan berkenaan menunjukkan tombol gear hot-hatch terkini Honda, iaitu Honda Civic Type R FL5, menandakan ia salah satu dari tiga model yang akan dilancarkan.

Ini merupakan Civic Type R ketiga bakal dijual secara rasmi oleh Honda Malaysia, selepas FD2R (Malaysia satu-satunya pasaran di dunia yang menerima model ini secara rasmi) dan juga FK8. Civic Type R FL5 ini sudahpun mula diperkenalkan di ASEAN bermula pasaran Vietnam hujung tahun lalu, diikuti Filipina pada awal tahun ini.

Model FK8 sebelum ini dijual pada harga RM320k ketika dilancarkan pada November 2017. Di semua pasaran yang telah dilancarkan, Civic Type R FL5 menampilkan harga yang lebih tinggi, jadi ia juga mungkin dijual lebih mahal untuk pasaran Malaysia. Agak menarik untuk disaksikan adakah FL5 akan dijual lebih mahal atau tidak berbanding pesaingnya yang baru sahaja dilancarkan di sini iaitu Toyota GR Corolla yang dijual pada harga RM355k.

Manakala satu lagi model baharu sepenuhnya yang akan dilancarkan disini adalah CR-V generasi baharu, di mana unit prototaipnya sudahpun dilihat diuji di sini hujung bulan lalu. Model ini baru sahaja membuat kemunculan sulung globalnya di Amerika Syarikat pada Julai tahun lalu, dan ia akan dilancarkan di Thailand pada 22 Mac ini.

Di kedua-dua pasaran berkenaan, Honda CR-V generasi ke-enam ini menerima dua jenis unit rangkaian kuasa iaitu versi petrol sepenuhnya dengan enjin 1.5 liter turbo dan juga versi hibrid e:HEV dengan enjin kitaran Atkinson 2.0 liter NA bersama dua buah motor elektrik.

Tiada sebarang petunjuk bila tarikh sebenar Honda CR-V 2023 ini akan dilancarkan. Tetapi ia dikhabarkan akan dilancarkan selepas Honda WR-V, iaitu selepas suku ketiga tahun ini.

Bagi satu model facelift yang bakal dilancarkan untuk 2023 pula, hampir pasti ia adalah Honda City facelift – model berkenaan baru sahaja didedahkan untuk peringkat global di India pada awal bulan ini, menampilkan beberapa perubahan yang dibuat pada rupa luaran dan dalaman serta diberikan sedikit peningkatan kelengkapan.

Honda City generasi kelima ini dilancarkan di India buat pertama kali pada Julai 2020, manakala Malaysia pula menerima model yang sama hanya tiga bulan selepas itu iaitu pada Oktober 2020. Jadi mungkin kita juga akan menerima versi facelift ini beberapa bulan dari sekarang?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required