Honda City facelift 2023 didedahkan di India – tiada lagi versi turbodiesel, diganti dengan varian hibrid

Honda City facelift 2023 didedahkan di India – tiada lagi versi turbodiesel, diganti dengan varian hibrid

Setelah lebih tiga tahun dalam pasaran, Honda City sedan generasi kelima kini sudah pun hadir dalam versi facelift 2023. Jika sebelum ini ia membuat kemunculan sulung globalnya di Thailand pada penghujung 2019, versi facelift ini pula muncul buat kali pertama menerusi pasaran India.

Versi facelift ini diberikan sedikit penyegaran pada rupa sebelah luar. Pada bahagian muka, City masih diberikan kluster lampu utama dan juga bahagian ‘kening’ krom yang sama. Namun pada gril, panel krom kini lebih nipis manakala elemen gril sarang lebah diberikan bahagian lebih besar.

Gril pada bampar juga nampak sedikit lebih besar dari sebelum ini, dan perumah lampu kabus pada sebelah sisi sudah dihubungkan dengan gril tengah berkenaan. Tiada perubahan pada profil sisi, tetapi ia boleh dibezakan menerusi rim aloi rekaan baharu.

Honda City facelift 2023 didedahkan di India – tiada lagi versi turbodiesel, diganti dengan varian hibrid

Di belakang, bampar yang kelihatan ringkas dan bersih sebelum ini telah diadun dengan kemasan seakan diffuser pada sebelah bawah. Reflektor yang sebelum ini diletakkan ‘berdiri’ juga kini telah dialih dan ‘dibaringkan’ pada diffuser tersebut. Penutup but belakang City sedan facelift ini juga diberikan lip spoiler.

Untuk pilihan unit rangkaian kuasa, enjin 1.5 liter petrol masih ditawarkan tetapi pilihan 1.5 liter turbodiesel i-DTEC sebelum ini telah digugurkan, namun ia digantikan dengan unit rangkaian kuasa hibrid.

Bagi versi petrol penuh, ia masih dijana dengan enjin petrol 1.5 liter i-VTEC DOHC berkuasa 121 PS dan tork maksima 245 Nm. Varian paling rendah iaitu City SV hanya dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, manakala varian V, VX dan ZX ditawarkan dengan pilihan kotak gear CVT.

Manakala untuk model hibrid ia hadir dalam varian V dan ZX, menerima unit rangkaian kuasa e:HEV sama seperti City RS pasaran Malaysia. Sistem tersebut menggandingkan enjin petrol 1.5 liter kitaran Atkinson berkuasa 98 PS/127 Nm, bersama dua buah motor elektrik berkuasa 109 Nm/253 Nm.

Menerusi sistem ini, enjin petrol yang dibekalkan pada kebanyakkan masa hanya berfungsi untuk mengecas bateri hibrid, manakala roda hadapan dipacu terus oleh motor elektrik utama. Namun pada situasi-situasi tertentu khususnya pada kelajuan tinggi, enjin petrol berkenaan turut akan bersama-sama memacu roda menerusi klac lock-up dan transmisi e-CVT, memberikan kuasa gandingan keseluruhan 126 PS.

Dalam kabin, rupa keseluruhannya masih nampak sama kecuali sedikit perubahan pada roda stereng dibuat di mana butang tekan untuk volume radio sebelum ini digantikan dengan suis jenis putar ke bawah. Varian-varian petrol menerima tema kemasan beige dan hitam, manakala varian-varian hibrid diberikan tema kemasan ivory dan hitam.

Bergantung kepada varian, City sedan facelift pasaran India ini menerima perincian seperti paparan instrumen digital dengan skrin TFT berwarna penuh 7-inci, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapan-inci yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay hubungan tanpa wayar dan lapan pembesar suara.

Varian-varian terpilih model pasaran India ini juga datang dengan pengecas tanpa wayar, lampu suasana kabin, pengelap cermin automatik dengan penderia, sistem pendingin hawa automatik dengan liang kabin belakang dan penuras kabin PM2.5, bumbung suria elektrik, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, pelindung cahaya matahari untuk cermin belakang manual serta pemantau tekanan angin tayar.

Untuk keselamatan pula City facelift pasaran India ini hadir dengan enam beg-udara, dengan varian-varian lebih tinggi menerima sistem pemantau titik buta Honda LaneWatch, serta pakej bantuan pemanduan Honda Sensing yang terdiri dari sistem seperti brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, lampu tinggi automatik, serta dua fungsi baharu iaitu cruise control adaptif dengan low-speed follow dan amaran pergerakan kenderaan hadapan.

Varian-varian dengan enjin petrol hanya diberikan brek dram pada roda belakang bersama tuil brek tangan manual, manakala varian-varian hibrid pula menerima brek cakera pada bahagian belakang dan turut dilengkapi brek tangan elektrik.

Enam warna badan ditawarkan untuk pembeli Honda City facelift ini di India iaitu Radiant Red Metallic, Platinum White Pearl, Golden Brown Metallic, Meteoroid Grey Metallic dan Lunar Silver Metallic serta satu warna baharu Obsidian Blue Pearl.

Ia dijual pada harga bermula 1.149 juta (11.49 lakh) rupee (RM62,273) untuk varian paling asas petrol manual 1.5 SV, sehingga 2.039 juta (20.39 lakh) rupee (RM110,486) bagi model tertinggi hibrid ZX.

Honda City generasi kelima ini dilancarkan di India buat pertama kali pada Julai 2020, manakala Malaysia pula menerima model yang sama hanya tiga bulan selepas itu iaitu pada Oktober 2020. Jadi mungkin kita juga akan menerima versi facelift ini tidak lama lagi?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required