Honda CR-V 2023 didedahkan – lebih besar dan garang, pilihan 1.5L VTEC Turbo dan e:HEV Hybrid

Honda CR-V 2023 didedahkan – lebih besar dan garang, pilihan 1.5L VTEC Turbo dan e:HEV Hybrid

Selepas beberapa imej teaser disiarkan sebelum ini, nah ini dia – Honda CR-V generasi keenam sudahpun didedahkan secara rasmi! Model ini telah menerima rombakan rekaan sepenuhnya, dan bakal dijual di pasaran Amerika Syarikat sebagai model 2023 bermula musim panas tahun ini (antara Jun hingga Ogos).

Honda CR-V 2023 ini akan ditawarkan dengan enjin turbo terlebih dahulu, kemudian bakal menerima pilihan unit rangkaian kuasa hibrid petrol elektrik lewat tahun ini. Bagi varian EX dan EX-L, Honda mendakwa enjin 1.5 liter VTEC Turbo yang dipadankan berkenaan kini sudah diperhalusi dengan port ekzos 4-2 pada kepala silinder, bersama respon, kadar efisien dan emisi yang lebih baik.

Tiada perubahan angka kuasa yang dilihat, tetapi kuasa puncak yang dihasilkan kini dapat dicapai pada takat rpm berbeza – enjin tersebut masih menghasilkan 190 hp (193 PS) pada takat 6,000 rpm (400 rpm lebih lewat) dan tork maksima 243 Nm bermula 1,700 rpm hingga 5,000 rpm (300 rpm lebih awal). Ia masih digandingkan dengan kotak gear CVT automatik, di mana transmisi tersebut kini dipertingkat bagi memberikan bunyi dan getaran lebih rendah.

Manakala untuk versi hibrid, ia hanya ditawarkan untuk varian Sport dan Sport Touring. Sistem intelligent Multi Mode Drive (i-MMD) yang sama seperti dipadankan pada Civic e:HEV terbaharu digunakan untuk CR-V lebih mesra alam ini. Ia terdiri dari enjin petrol 2.0 liter empat silinder kitaran Atkinson, digandingkn dengan e-CVT dan dua motor elektrik bagi memberikan kuasa keseluruhan 204 hp (207 PS).

Honda CR-V 2023 didedahkan – lebih besar dan garang, pilihan 1.5L VTEC Turbo dan e:HEV Hybrid

Jika dirujuk pada spesifikasi Honda CR-V hibrid generasi sebelumnya yang berkuasa 212 hp (215 PS), angka kuasa yang dihasilkan oleh model generasi baharu ini adalah lebih rendah. Namun, salah satu motor elektrik yang dibekalkan (bukan yang bertindak sebagai generator untuk bateri) sebenarnya kini menghasilkan tork yang lebih tinggi iaitu 335 Nm berbanding 315 Nm pada model sebelumnya.

Dengan unit rangkaian kuasa hibrid baharu ini juga membolehkan CR-V menerima kadar menunda seberat 454 kg (1,000 pound), di mana tiada sebarang angka disebut untuk aspek ini pada CR-V generasi kelima.

Kesemua varian pasaran Amerika Syarikat ini ditawarkan dengan opsyen sistem pacuan semua roda Honda Real Time AWD dengan Intelligent Control System. Sistem berkenaan mampu untuk menghantar sehingga 50% tork kepada roda belakang bagi memberikan cengkaman lebih baik pada permukaan licin seperti salji dan lumpur – Sport Touring dibekalkan dengan fungsi ini sebagai perincian standard.

Tiga mod pemanduan dibekalkan pada Honda CR-V 2023 ini iaitu Normal, Econ dan mod baharu iaitu Snow. Bagi varian-varian dengan unit rangkaian kuasa hibrid, ia menerima satu lagi mod pemanduan iaitu Sport.

Honda CR-V 2023 didedahkan – lebih besar dan garang, pilihan 1.5L VTEC Turbo dan e:HEV Hybrid

Kemaskini mekanikal lain yang dibuat pada model generasi baharu ini termasuk subframe hadapan yang lebih keras bersama kedudukan rak stereng yang diubah bagi memberikan rasa dan ketepatan lebih baik, serta subframe belakang yang juga kini lebih keras bersama suspensi multilink yang ditala semula dengan kadar spring 15% lebih tinggi pada bahagian cagak sebelah atas. Suspensi hadapan CR-V baharu ini masih menggunakan sistem topang McPherson.

Seperti yang telah tertiris sebelum ini, Honda CR-V generasi keenam ini menampilkan rupa yang lebih tajam, garang dan lasak berbanding rekaan lebih ‘bulat’ dari model generasi sebelumnya. Menurut Honda, rekaan baharu untuk CR-V ini adalah diinspirasikan dari trak pikap Honda Ridgeline dan juga SUV lebih besar Honda Passport TrailSport.

Oleh itu, ia kini diberikan gril hadapan bersaiz besar dengan kemasan hitam berkilat, diapit dengan dengan lampu hadapan LED yang lebih tirus. Bampar CR-V ini juga direka lebih bersegi dari sebelumnya, dan varian-varian hibrid menerima liang udara bawah yang lebih lebar bersama kemasan krom dan juga elemen berbentuk-L yang sebenarnya turut befungsi sebagai liang udara yang diletak menegak. Manakala model dengan enjin petrol penuh nampak kurang garang seperti yang boleh anda lihat pada unit berwarna merah pada galeri yang kami sediakan di bawah.

Bonet CR-V 2023 ini juga direka lebih panjang, dan menyebabkan tiang-A SUV ini ditolak 119 mm ke belakang. Titik asas tiang-A berkenaan juga di alihkan 71 mm keluar, membolehkan ia berada pada kedudukan 35.6 mm lebih rendah dari CR-V generasi sebelumnya.

Honda CR-V 2023 didedahkan – lebih besar dan garang, pilihan 1.5L VTEC Turbo dan e:HEV Hybrid

Garis bahu SUV generasi baharu ini juga nampak lebih tegap dengan satu garis yang diberikan menyambungkan lampu hadapan dan lampu belakang. Manakala cermin suku belakang menerima garis bawah yang lebih landai memberikan imej yang lebih matang pada model ini.

Di belakang, CR-V masih menerima lampu utama berbentuk-L, namun ia tidak lagi diberikan kemasan krom yang merentangi pintu tailgate, membuatkan ia nampak lebih ringkas seperti model-model SUV dari Eropah. Panel nombor pendaftaran juga kini diletak lebih tinggi, manakala hanya model Sport dan Sport Touring diberikan perumah corong ekzos pada bampar belakang.

Panel-panel pelindung plastik badan masih diberikan terdiri skid plate pada bampar hadapan dan belakang serta kemasan plastik pada bahagian bawah setiap pintu. Varian Sport dan Sport Touring masing-masing menerima set rim aloi 18- dan 19-inci berwarna hitam, manakala varian EX dan EX-L hanya diberikan rim 18-inci kemasan perak.

Honda CR-V 2023 ini bukan hanya nampak besar dari model sebelum ini, ianya memang benar-benar lebih besar. Atas kertas, dimensi model generasi baharu ini adalah 4,694 mm panjang, 1,864 mm lebar, tinggi 1,681 mm dan jarak roda sejauh 2,700 mm. Jadi berbanding model generasi kelima, versi baharu ini adalah 69 mm lebih panjang, 10 mm lebih lebar dan jarak roda 40 mm lebih jauh. Namun dari segi tinggi, ia adalah 8 mm lebih rendah yang memberikan rupa lebih sporty.

Honda CR-V 2023 didedahkan – lebih besar dan garang, pilihan 1.5L VTEC Turbo dan e:HEV Hybrid

Dengan jarak roda yang lebih jauh, penumpang pada tempat duduk belakang kini menerima ruang kaki yang 15 mm lebih besar. Malah tempat duduk jenis bench di belakang itu juga kini boleh boleh direbah dengan lapan sudut berbeza bagi memberikan lebih keselesaan. Tidak kira varian turbo mahupun hibrid, kedua-duanya kini menerima ruang kargo lebih besar.

CR-V ini juga menerima papan pemuka yang seakan diambil terus dari Honda Civic generasi ke-11. Papan pemuka berkenaan lebih ringkas dan minimalis dari model generasi ini, menampilkan liang penghembus dengan gril sarang lebah yang merentangi sepenuhnya. Skrin infotainmen yang “berdiri sendiri” di bahagian tengah juga nampak seiras dengan Civic, di mana model EX dan Sport diberikan paparan bersaiz tujuh-inci, manakala model EX-L dan Sport Touring menerima paparan sembilan-inci.

Apa yang berbeza, konsol tengah CR-V ini nampaknya lebih besar berbanding Civic, membolehkan tombol gear diletak bersebelahan dengan suis pemilih mod pemanduan, butang kawalan menurun bukit dan suis brek parkir elektronik. Konsol tersebut turut menampilkan ruang storan kecil yang turut menempatkan pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi (hanya untuk EX-L dan Sport Touring), manakala dua pemegang cawan diberikan antara konsol tengah dan juga perehat tangan.

Kesemua varian CR-V 2023 ini menerima sokongan hubungan Android Auto dan Apple CarPlay, manakala pada varian EX-L dan Sport Touring kedua-dua fungsi tersebut boleh dihubungkan tanpa wayar. Paparan instrumen digital tujuh-inci juga adalah perincian standard untuk setiap varian, bersama perincian lain termasuk 10-beg udara, kawalan menurun bukit, pengingat pemakaian tali pinggang keledar belakang, pengingat tempat duduk belakang dan pemantau tumpuan pemandu.

Honda CR-V 2023 didedahkan – lebih besar dan garang, pilihan 1.5L VTEC Turbo dan e:HEV Hybrid

Sistem bantuan pemanduan Honda Sensing juga adalah standard untuk semua varian, memberikan fungsi termasuk kamera pandangan 90-darjah dan radar gelombang-milimeter pandangan 120-darjah baharu, Traffic Jam Assist (TJA), Low-Speed Braking Control dan Traffic Sign Recognition (TSR).

Sistem informasi titik buta (BSI) kini merupakan ciri standard. Sementara fungsi Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Low-Speed Follow dan Lane Keeping Assist (LKAS) kini telah ditala semula bagi memberikan operasi yang lebih lancar dan respon lebih natural.

Model EX dan Sport menerima upholsteri fabrik, manakala varian EX-L dan Sport Touring pula diberikan balutan kulit. Semua varian diberikan port USB-A dan USB-C pada kabin hadapan, manakala model-model varian hibrid pula menerima dua port USB-C tambahan untuk kabin belakang. Sistem bunyi Bose 12-pembesar suara pula hanya diberikan pada model tertinggi Sport Touring.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required