Hampir setahun selepas Civic generasi ke-11 diperkenalkan di peringkat global, Honda Eropah telah mendedahkan varian e:HEV hybrid buat pertama kali. Ia merupakan satu-satunya varian yang akan dijual di benua berkenaan dan menandakan kembalinya janaan elektrik-petrol untuk Civic selepas beberapa ketika.

Seperti spekulasi sebelum ini, e:HEV hybrid menerima versi Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) ciptaan Honda yang paling berkuasa, yang turut digunakan pada Accord Hybrid. Motor elektrik memacu roda hadapan dengan menghasilkan kuasa 135 kW (184 PS) dan tork 315 Nm, dan dijanakan oleh enjin 2.0 liter kitaran-Atkinson empat-silinder.

Tidak seperti yang ada pada Accord, penjana kuasa petrol adalah unit suntikan-terus dan ia adalah lebih berkuasa, dan mampu menghasilkan kuasa kombinasi yang lebih tinggi. Tiada spesifikasi yang didedahkan untuk enjin, tetapi unit yang diberikan pada Accord mampu menghasilkan 145 PS pada 6,200 rpm dan 175 Nm pada 3,500 rom, dengan angka prestasi keseluruhan mencecah 215 PS. Honda berkata ia telah membuat beberapa peningkatan untuk mencapai kecekapan haba stratosfera sebanyak 41%.

Turut ditampilkan ialah bateri sel-72 baharu yang sebahagian daripada Unit Kuasa Pintar yang lebih kecil dan ringan yang diletakkan di bawah tempat duduk belakang, bersama Unit Kawalan Kuasa kompak yang ditempatkan di bawah bonet bersama penjana kuasa. Honda menyasarkan angka penggunaan bahan api WLTP kombinasi di bawah 5.0 liter untuk setiap 100 km dan emisi karbon dioksida kurang 110 gram setiap kilometer.

Selain penjana kuasa baharu, Civic Eropah juga akan dijual secara eksklusif dalam bentuk hatchback, sama seperti di Jepun. Ini bermakna bahagian belakangnya adalah 125 mm lebih pendek berbanding versi sedan dengan lampu belakang lebar-sepenuhnya, corong ekzos trapezoidal besar dan resin tailgate yang 20% lebih ringan berbanding sebelum ini. Gril hadapan juga diberikan jaring haksagon dan ia lebih tinggi berbanding sedan, sekaligus membuatkan hujung hadapannya kurang menonjol.

Di dalamnya, Civic Eropah berkongsi rekaan kabin yang sama dengan semua model di dunia, dengan papan pemuka mendatar yang lebih kemas, corong udara lebar-penuh dengan penutup jaring metal dan skrin sesentuh tengah sembilan-inci “freestanding”. Ciri lain termasuklah ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar dan senarai pilihan termasuk paparan instrumen digital 10.2-inci dan sistem bunyi Bose 12-pembesar suara – kedua-duanya tidak ditawarkan untuk Civic pasaran Malaysia.

Bagi aspek keselamatan, Civic untuk pasaran Eropah diberikan ciri standard seperti kelengkapan sistem bantuan pemandu Honda Sensing, termasuk brek kecemasan sendiri, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop and go, bantuan pemusatan lorong, pemantauan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, low-speed AEB dan keupayaan pemanduan Level 2 semi-autonomous bagi Bantuan Kesesakan Trafik.

Ia juga dilengkapi tidak kurang dari 11 beg udara, termasuk dua beg udara lutut untuk tempat duduk hadapan, beg udara sisi untuk belakang dan beg udara di tengah antara penumpang hadapan yang buat masa ini eksklusif untuk Eropah.

Walaupun e:HEV hanya ditunjukkan di sini dalam bentuk hatchback, namun dijangkakan model e:HEV hybrid ini juga akan ditawarkan dalam versi sedan untuk pasaran Asia Tenggara. Thailand juga dilaporkan bakal menerima versi yang sama, dan produksi tempatan untuk versi hatchback lima-pintu telah dihentikan baru-baru ini disebabkan jualan yang agak perlahan. Manakala pasaran Malaysia juga bakal menerimanya tidak lama lagi.