Bangkok 2023: Mitsubishi XRT Concept – Triton generasi baru yang lebih besar, bakal dilancar Julai ini

Bangkok 2023: Mitsubishi XRT Concept – Triton generasi baru yang lebih besar, bakal dilancar Julai ini

Selepas menyiarkan teaser untuk model generasi baharu trak pikap Triton sebelum ini, nah ini dia ia sudah muncul dalam versi konsep – Mitsubishi XRT Concept didedahkan ketika berlangsungnya Bangkok International Motor Show (BIMS) 2023 minggu ini!

Versi produksi sebenar model generasi kelima (dikenali dengan asas nama L200 dan pelbagai nama lain seperti Storm dan Strada merentas generasi dan pasaran) bakal membuat kemunculan sulung pada bulan Julai nanti. Ia bakal menggantikan model generasi sedia ada yang sudah pun berada dalam pasaran sejak 2014, serta telah diberikan facelift menyeluruh pada 2018.

Sebagai salah satu anggota Pakatan Renault Nissan yang disertai bermula 2016, model generasi baharu Triton ini turut akan dibina berasaskan platform kumpulan automotif berkenaan, atau secara spesifiknya menggunakan casis ladder frame yang sama dengan Nissan Navara.

Bangkok 2023: Mitsubishi XRT Concept – Triton generasi baru yang lebih besar, bakal dilancar Julai ini

Walau bagaimanapun, pembangunan yang dibuat bukanlah semudah proses rebadge seperti yang dilakukan pada Mitsubishi ASX dan Colt generasi baharu pasaran Eropah yang hanya menukar logo Renault Captur dan Clio. Menurut Mitsubishi, platform baharu ini telah menerima kejuteraan semula dari mereka sendiri dan ia kini adalah baharu sepenuhnya.

Apa yang didakwa oleh Mitsubishi ini adalah tidak mustahil. Ini kerana ia telah dibuktikan pada model Outlander PHEV generasi baharu dimana ia masih berkongsi platform yang sama dengan Nissan X-Trail, tetapi unit rangkaian kuasanya bukan dari Nissan, sebaliknya adalah sistem hibrid dari Mitsubishi sendiri.

Dengan menggunakan asas Navara, kelebihan utama pada Triton generasi baharu ini sudah tentu dari segi saiz. Navara menampilkan jarak roda sejauh 3,150 mm, dengan jelas 150 mm lebih jauh dari Triton generasi sedia ada. Badan XRT Concept ini juga nampaknya masih lagi ada pengaruh Navara, terutamanya pada bahagian garis tingkap.

Bangkok 2023: Mitsubishi XRT Concept – Triton generasi baru yang lebih besar, bakal dilancar Julai ini

Masih tiada perincian berkenaan unit rangkaian kuasa bagi Triton generasi baharu ini. Tetapi dijangka Mitsubishi tidak akan menggunakan teknologi dari Nissan dan masih akan menggunakan teknologi MIVEC DOHC Turbodiesel. Namun enjin 4N15 pada Triton sedia ada mungkin akan diganti dengan versi lebih baharu iaitu 4N16.

Enjin 4N16 berkenaan menampilkan sesaran 2.4 liter yang sama seperti 4N15, dan ia sudahpun dipadankan pada van Nissan Urvan NV350 versi facelift (atau dikenali sebagai Caravan di Jepun) tahun lalu. Enjin pada van berkenaan turut menerima kotak gear automatik baharu dari Jatco yang menampilkan tujuh kelajuan – mungkin juga akan dibawa ke Triton kerana model sedia ada masih menggunakan kotak gear auto enam-kelajuan.

Dari segi rekaan luaran, Triton XRT Concept ini masih diberikan rupa yang garang, tetapi kurang bersegi dan nampak lebih matang. Gril hadapannya kini direka besar hingga ke bawah, menampilkan elemen sarang lebah serta nampak seperti bersambung dengan lampu nyalaan siang LED yang tirus pada sebelah atas.

Lampu utama masih diletakkan pada bahagian sisi bampar, dan kini direka seperti bentuk huruf-J yang bersambung dengan satu lagi lampu di bawah yang berkemungkinan merupakan lampu kabus atau lampu panduan. Lampu belakang juga menerima reka bentuk baharu bagi dipadankan pada badan yang nampak lebih besar.

Pada sebelah sisi, kesemua fender direka seakan kit badan lebar yang nampak seperti otot-otot dan turut menampilkan liang udara pada bahagian belakang. Model konsep Triton ini juga menerima kelengkapan-kelengkapan off-road tambahan seperti rim aloi Work Crag T-Grabic II bersama tayar mud-terrain, dua set tayar gantian pada bed belakang dan juga unit snorkel untuk ‘menyelam’ merentas sungai.

Keseluruhan badan Triton XRT Concept ini menerima grafik penyamaran “batu lava yang penuh mampat dengan tenaga” dan juga bar sendeng penala rasmi Mitsubishi iaitu Ralliart bagi menyembunyikan rupa sebenarnya.

Rupa model produksi sebenar Triton generasi baharu ini mungkin hampir keseluruhannya sama dengan model konsep ini kerana ia sudah nampak seperti model produksi sebenar tanpa perincian-perincian mengarut, serta sudahpun diberikan penderia parkir pada sebelah hadapan dan belakang.

Malah dengan perincian-perincian off-road bersama grafik Ralliart yang diberikan, ini mungkin gambaran sebenar trak pikap Triton generasi kedua dalam versi jentera rali T1 untuk berlumba dalam Asia Cross Country Rally (AXCR) hujung tahun ini.

Tahun lalu Mitsubishi mula berlumba semula menggunakan panji-panji Ralliart, bermula dengan AXCR 2022 dengan Mitsubishi Triton generasi sedia ada. Jentera rali spesifikasi FIA T1 Cross Country dengan perincian hampir sama dengan model produksi berkenaan berjaya meredah dan menamatkan perjalanan sejauh 1,524 km, dengan ujian masa dalam 6 Special Stage (SS) dalam jarak 637 km di tempat pertama hanya dalam percubaan kali pertama.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required