Jenama EV dari China, Neta akan masuk Malaysia — Neta V sebagai EV bajet, jarak 384 km, 101 km/j laju

Jenama EV dari China, Neta akan masuk Malaysia — Neta V sebagai EV bajet, jarak 384 km, 101 km/j laju

Malaysia akan terima sebuah lagi jenama EV dari China dengan pengenalan Neta. Merupakan jenama di bawah Hozon Auto, Neta ketika ini menawarkan tiga model di sana, iaitu Neta S, Neta U-II (penerus Neta U) dan Neta V.

Namun, hanya Neta V crossover yang ditunjukkan di laman web Neta Auto Malaysia dan di laman media sosialnya. EV berkenaan diperkenalkan pada 2020 dan menggunakan platform HPC yang sama digunakan untuk Neta U-II. Di Thailand, Neta V menampilkan bateri lithium-ion 38.5 kWh yang membekalkan kuasa kepada motor elektrik di depan dengan janaan 95 PS (94 hp atau 70 kW) dan 150 Nm tork.

Dengan jarak perjalanan 384 km mengikut standard NEDC (kadar WLTP biasanya 20% lebih rendah), model ini lebih sesuai untuk kegunaan dalam bandar, dengan laju maksimum 101 km/j dan 0-50 km/j dalam masa 3.9 saat.

Jenama EV dari China, Neta akan masuk Malaysia — Neta V sebagai EV bajet, jarak 384 km, 101 km/j laju

Untuk pengecasan, Neta V menerima input AC maksimum (Type 2) 6.6 kW, dengan satu cas penuh mengambil masa lapan jam. Turut ada pengecasan DC dengan maksimum 100 kW yang membekalkan bateri dari 30-80% dalam masa 30 minit. Sementara itu, output sistem vehicle-to-load (V2L) sehingga 3.3 kW untuk kegunaan peranti luaran.

Untuk saiz, Netta V berukuran 4,070 mm panjang, 1,690 mm lebar, 1,540 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,420 mm. Kelengkapan standard termasuklah rim 16-inci, lampu automatik (projektor halogen), DRL LED, lampu belakang LED, sistem tanpa kunci dengan Ride & Go, panel instrumen digital 12-inci, kawalan melayar, brek parkir elektronik, skrin sentuh 14.6-inci untuk infotainmen dengan kamera undur dan enam pembesar suara, balutan kerusi kulit buatan, kerusi elektrik larasan empat arah dan dua beg udara.

Tiada sistem bantuan pemandu seperti AEB ditawarkan. Bagaimanapun ia ada ciri auto brake hold, bantuan mula mendaki, peninjau tekanan tayar dan kawalan melayar pasif, selain ciri keselamatan pasif biasa. Pada harga 549,000 baht (sekitar RM71k), Neta V agak mampu milik di Thailand dan sebenarnya 10,000 baht (sekitar RM1.3k) lebih murah berbanding varian paling rendah Yaris facelift di Thailand.

Jenama EV dari China, Neta akan masuk Malaysia — Neta V sebagai EV bajet, jarak 384 km, 101 km/j laju

Di atas Neta V ada Neta U-II, juga sebuah crossover yang lebih besar dengan ukuran 4,549 mm panjang, 1,860 mm lebar, 1,628 mm tinggi, serta jarak antara roda 2,770 mm. Ia hadir dengan dua output berbeza: satu dengan 163 PS (161 hp atau 120 kW) dan 210 Nm, sementara versi yang lebih berkuasa dengan 231 PS (228 hp atau 170 kW) dan 310 Nm — mengikut spesifikasi di China.

Kapasiti bateri adalah antara 54.32 dan 81.57 kWh, dengan jarak perjalanan antara 401 dan 610 km mengikut standard CLTC. Sistem ADAS seperti kawalan melayar adaptif, AEB dan bantuan mengekalkan lorong turut disediakan untuk Neta U-II, dengan Qualcomm Snapdragon 8155 system-on-chip (SoC) menguasakan fungsi berkenaan.

Yang terakhir, Neta S pula merupakan model syarikat itu yang pertama menggunakan paltform Shanhai. Neta S ialah sebuah sedan dengan pintu gullwing, hadir dengan ukuran 4,980 mm panjang, 1,980 mm lebar, 1,450 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,980 mm.

Jenama EV dari China, Neta akan masuk Malaysia — Neta V sebagai EV bajet, jarak 384 km, 101 km/j laju

Kapasiti bateri bagi Neta S adalah dari 43.51 hingga 91 kWh, dengan jarak perjalanan antara 310 km hingga 715 km. Dalam keadaan spesifik, Neta S didakwa mampu memberikan jarak 1,160 km untuk satu cas penuh — mengikut standard CLTC.

Untuk sistem janaan kuasa, Neta S boleh dipilih sama ada versi motor elektrik belakang dengan 231 PS (228 hp atau 170 kW) dan 310 Nm. Selain itu, ada juga versi pacuan semua roda dengan tambahan satu lagi motor elektrik di belakang dengan output yang sama.

Dari segi harga, Neta U-II dijual antara 135,800 dan 165,800 yuan (RM87,746 dan RM107,130) di China. Neta S lebih mahal, dengan harga pengenalan untuk masa terhad sekitar 179,800 yuan (RM116,454) dan boleh naik sehingga 341,800 yuan (RM220,869). Neta V di China pula dijual antara 83,800 dan 96,900 yuan (RM54,152 dan RM62,617).

Neta V di Bangkok International Motor Show 2023

Neta S di Bangkok International Motor Show 2023

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required