Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) yang kini menguruskan jenama Kawasaki di Malaysia membuka pusat 4S pertama bagi jenama Jepun tersebut, di Taman Perindustrian Tiong Nam, Seksyen 15, Shah Alam, Selangor.
Dipanggil sebagai Kawasaki Shah Alam, majlis pelancaran pusat 4S ini disempurnakan oleh ketua pegawai eksekutif EMOS, Roslan Roskan, ketua pegawai pemasaran EMOS, George Kashiwagi dan ketua pegawai eksekutif Kawasaki Shah Alam, Datuk Chear Kin Keong.
Selain menempatkan bahagian jualan, alat ganti, servis dan pusat pameran, Kawasaki Shah Alam juga diiktirafkan sebagai Kawasaki All Star, di mana penggemar motosikal boleh mendapatkan semua jenis motosikal terbaru Kawasaki, dari yang berkapasiti rendah, hingga tinggi, termasuk juga model offroad tidak lama lagi.
“Melihat sekitar Kawasaki Shah Alam ini, saya terinspirasi kedai yang pertama seumpamanya ini akan juga menjadi platform bagi komuniti Kawasaki untuk mengalami pelbagai produk inovatif Kawasaki dalam satu suasana yang serba lengkap. Kami percaya, kejayaan jenama Kawasaki terletak pada orang-orangnya,” kata Roslan.
“Semua premis Kawasaki All Star kami menggunakan rekaan dan bentuk seperti Kawasaki Plaza di Jepun, dengan mengetengahkan pameran produk dan barangan rasmi. Kami percaya dengan menggunakan kepercayaan serta aspek rekaan yang sama, pusat pameran ini akan memberi rasa puas kepada pelanggan,” kata George.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.