Selepas Vietnam, Filipina dan Thailand, kini satu lagi negara ASEAN iaitu Indonesia secara rasmi menerima model generasi baharu hot-hatch Honda Civic Type R FL5. Model berkenaan dilancarkan secara rasmi di republik tersebut semalam dan dijual pada harga Rp 1,399,000,000 atau sekitar RM412k.
Seperti yang diketahui, Civic Type R FL5 ini diasaskan dari Civic generasi ke-11 dalam bentuk badan hatchback. Ia menerima kejuruteraan semula pada casis dengan diberikan suspensi lebih baik, badan lebih lebar bersama kit aero lebih agresif dan pelbagai lagi.
Model generasi baharu ini masih menerima enjin petrol 2.0 liter VTEC Turbo K20C1 seperti model generasi FK8 terdahalu, namun ditala semula bagi memberikan kuasa lebih besar. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pengedar Honda di Indonesia iaitu PT Honda Prospect Motor (HPM), enjin berkenaan kini menghasilkan kuasa 319 PS pada tahap 6,500 rpm dan tork maksima 420 Nm bermula 2,600 hingga 4,000 rpm.
Angka tersebut dilihat sedikit rendah berbanding model pasaran Jepun yang diwartakan berkuasa 330 PS dengan tork sama 420 Nm. Namun ia masih 9 PS/20 Nm berbanding FK8 pasaran ASEAN termasuk Malaysia sebelum ini.
Peningkatan kuasa ini dibuat menerusi kemaskini pada pengecas turbo yang dihasilkan dengan saiz, bentuk serta jumlah bilah turbin yang dioptimakan bersama bentuk aliran udara dari salur kemasukan, serta sistem ekzos yang lebih efisien. Model baharu ini juga menerima injap aktif pada sistem ekzos yang memberikan operasi lebih baik pada Active Sound Control.
Selain itu, rekaan gril hadapan dengan ruang kemasukan udara lebih besar membolehkan radiator beroperasi pada kadar 48% lebih baik dari FK8. FL5 masih lagi mengekalkan prinsip hanya dihasilkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual, bagi memastikan ia dibeli oleh mereka yang betul-betul minat memandu.
Transmisi manual yang lengkap dengan LSD berkenaan dipertingkat menerusi roda tenaga yang lebih ringan, perisian sistem rev-match (heel & toe automatik) yang diperkemas, serta tuil dan pagar “H-pattern” yang dioptimakan bagi memberikan penukaran gear yang lebih jitu.
Gandingan unit rangkaian kuasa ini membolehkan Honda Civic Type R ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 272 km/j.
Antara perincian yang diberikan pada model pasaran Indonesia ini termasuk lampu hadapan LED penuh, cermin sisi auto-lipat dengan lampu isyarat membelok LED, lampu kabus belakang, rim aloi 19-inci dan lain-lain.
Pada bahagian kabin, Type R FL5 di Indonesia ini menerima tempat duduk bucket berwarna merah, roda stereng balutan alcantara, paparan instrument digital dengan skrin TFT 10.2-inci, tombol gear dan set pedal aluminium, brek parkir elektrik dengan fungsi auto-hold, pengecas tanpa wayar, sistem pendingin hawa dua-zon serta sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 9-inci bersama lapan pembesar suara.
Bagi kelengkapan keselamatan pula, Type R FL di Indonesia ini diberikan lapan-beg udara, dan juga pakej bantuan pemanduan Honda Sensing dengan fungsi termasuk Collision Mitigation Braking System (CMBS), Road Departure Mitigation (RDM) System, Forward Collision Warning (FCW) System, Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Keeping Assist System (LKAS), Lead Car Departure Notification System (LCDN) serta Auto High Beam Headlights (AHB).
Pelanggan di Indonesia boleh memilih Type R FL5 ini dalam lima warna badan berbeza iaitu Championship White, Rallye Red, Crystal Black Pearl, Sonic Gray Pearl dan Racing Blue Pearl.
Tidak seperti FK8 yang diproduksi di United Kingdom sebelum ini, produksi FL8 sudah kembali ke Jepun kerana kilang Honda Swindon telahpun ditutup. Jadi semua unit FL8 untuk pasaran seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Australia dan ASEAN adalah dari kilang Yorii di Saitama, Jepun.
Seperti yang diumumkan oleh Honda Malaysia baru-baru ini, Honda Civic Type R FL5 turut akan dilancarkan di sini tahun ini. Melihat trend harga jualannya yang sememangnya lebih mahal dari model FK8 untuk setiap negara yang sudah dipasarkan, FL5 juga dijangka akan dijual lebih mahal di sini.
Namun ia mungkin tidak semahal di Indonesia dan Thailand (dijual pada harga 3,990,000 baht, atau sekitar RM520k). Kita boleh ambil Toyota GR Corolla sebagai perbandingan – hot-hatch Toyota ini dilancarkan di Thailand pada November 2022 dan dijual pada harga 3.949 juta baht (RM500k), namun apabila ia tiba di Malaysia, UMW Toyota menjualnya pada harga RM355k. Jadi mungkin Honda Civic Type R ini akan dijual di Malaysia pada harga sekitar RM350k-RM360k?
GALERI: Honda Civic Type R FL5 2023 pasaran Thailand
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
Don’t buy the new car keep the old car and save money..