Proton sah akan bawa Zeekr ke Malaysia – pesaing terus Tesla dari Geely akan dilancar selepas smart

Proton sah akan bawa Zeekr ke Malaysia – pesaing terus Tesla dari Geely akan dilancar selepas smart

Anak syarikat Proton yang mengendalikan jualan dan pengedaran kenderaan smart serta kenderaan tenaga baru (NEV) iaitu Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (PRO-NET) mengesahkan bahawa ia turut akan membawa satu lagi jenama EV dari Geely iaitu Zeekr selepas ini.

Perkara berkenaan diumumkan dalam satu hantaran yang dibuat di laman Facebook smart Malaysia yang dibuat sempena lawatan menteri perdagangan dan industri Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ke kilang pintar Hangzhou Bay yang memproduksi model-model smart dan Zeekr di Ningbo, China.

“YB Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, menteri perdagangan dan industri bersama deligasi dari MITI, MIDA, MATRADE, DRB-HICOM, dan Proton membuat lawatan ke kilang pintar Hangzhou Bay di Bandar Ningbo, China.

Proton sah akan bawa Zeekr ke Malaysia – pesaing terus Tesla dari Geely akan dilancar selepas smart

“Delegasi berkenaan memandu uji pelbagai model EV, termasuk smart #1 dan benar-benar kagum dengan reka bentuk premium serta teknologi canggih kereta EV daripada Geely dan Zeekr, meningkatkan jangkaan ketibaan kedua-dua jenama itu ke Malaysia, dengan smart #1 dijangka menjadi model pertama berada di atas jalan raya,” tulis kapsyen hantaran tersebut.

PRO-NET dijangka bakal melancarkan smart #1 pada suku keempat tahun ini di Malaysia selepas perjanjian antara Proton dan smart Automobile Company (smart) dibuat pada Januari 2022, menyaksikan Proton Edar akan menjadi pengedar jenama berkenaan bukan hanya di Malaysia, malah pada pasaran Thailand.

Ia bukan sahaja akan menyaksikan Proton menyediakan rangkaian pusat jualan dan servis untuk jenama smart, malah turut akan membina rangkaian stesen pengecas EV dengan kerjasama anak syarikat Petronas iaitu Gentari.

Untuk Zeekr, ia adalah jenama EV yang diwujudkan oleh Geely pada 2021 yang fokus untuk segmen lebih premium untuk berhadapan dengan Tesla serta telah diumumkan akan masuk ke pasaran Eropah tahun ini. Walau bagaimanapun masih belum ada petunjuk bila ia akan di bawa ke Malaysia secara rasmi.

Model pertama yang dilancarkan dengan lencana Zeekr ini adalah “Shooting Brake” EV Zeekr 001. Ia dibina berasaskan platform Sustainable Experience Architecture (SEA) dan tampil dalam versi satu motor (pacuan belakang) dan versi dua motor elektrik (satu pada setiap gandar) menjadikan ia sebuah model pacuan semua roda.

Versi paling berkuasa AWD dengan pek bateri paling besar 100 kWj memberikan bekalan kuasa keseluruhan 544 PS dan tork maksima 768 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat, dan mampu bergerak sejauh 606 km dengan satu cas penuh.

Model kedua yang diperkenalkan oleh Zeekr pula adalah MPV EV mewah Zeekr 009. Ia turut diasaskan dari platform SEA dan hadir dalam konfigurasi dua motor elektrik berkuasa 544 hp dan tork maksima 686 Nm. Ini membolehkan MPV dengan saiz lebih besar dari Toyota Alphard berkenaan memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.5 saat.

MPV EV ini ditawarkan dengan dua jenis kapasiti bateri iaitu 116 kWj menawarkan jarak gerak sejauh 702 km (mengikut kitaran CLTC), dan bateri 140 kWj menawarkan jarak gerak sejauh 822 km dengan satu cas penuh.

Manakala pada Februari lalu Zeekr telah mendedahkan satu lagi model EV yang digelar Zeekr X, iaitu crossover EV kompak dengan saiz sedikit lebih besar dari smart #1 yang dibina berasaskan platform SEA yang sama.

Spesifikasi lengkap untuk Zeekr X ini masih belum diumum, namun ada laporan menyatakan ia akan menerima unit rangkaian kuasa yang sama seperti smart #1, dengan pilihan motor tunggal pacuan roda belakang, dan motor berkembar pacuan semua roda. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah antara 272 PS (268 hp atau 200 kW) hingga 428 PS (422 hp atau 315 kW), sementara bateri pula berkemungkinan mempunyai kapasiti 66 kWh.

Antara tiga model Zeekr ini, yang mana satu anda mahu lihat ia dibawa terlebih dahulu ke Malaysia?

(KEMASKINI: Kami telah menghubungi Proton dan Pro-Net untuk mendapatkan komen rasmi mengenai perkara ini, dan walaupun kedua-dua pihak tidak dapat mengesahkannya secara langsung bahawa Zeekr akan dibawa ke pasaran tempatan, ia telah mengulangi hasrat untuk mempercepatkan rancangan NEV dalam masa terdekat. Ini mungkin termasuk memperkenalkan pelbagai model daripada portfolio EV Geely yang luas – tidak semestinya Zeekr – selepas pelancaran smart #1 di sini.)

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • AMIRIZWAN BIN MOHAMED ROBBA'A on Apr 09, 2023 at 1:42 am

    2023 yang terbaik DI MITSUI OUTLET PARK, Ramadan N Syawal.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required