Iklan raya Proton 2023 – papar kisah berdasarkan Sarjan Ismail, pencipta nama ‘Saga’ pada 1984

Tahun ini merupakan ulangtahun ke-40 untuk syarikat automotif nasional pertama negara, Perusahaan Otomobil Nasional (Proton). Macam-macam yang akan Proton buat tahun ini untuk merayakan sambutan tersebut, antaranya bakal memperkenalkan model skala kecil Hot Wheels Proton Saga, dan melancarkan SUV tiga baris tempat duduk serba baharu Proton X90.

Sempena sambutan hari raya Aidilfitri yang akan disambut umat Islam tidak sampai seminggu lagi, Proton menayangkan video iklan istimewa yang turut menyelitkan tema ulangtahun empat dekadnya – mempersembahkan, video raya bertajuk “Sarjan Saga”.

Video raya ini diinspirasikan dari kisah Staf Sarjan Ismail Jaafar dari Pulau Pinang, iaitu individu yang dipilih sebagai pemenang ‘Pertandingan Menamakan Kereta Nasional’ pada tahun 1984. Sarjan Ismail menang pertandingan berkenaan bukan sahaja nama ‘Saga’ yang diberikan tersebut mudah disebut, malah ia adalah akronim yang padat serta memberikan makna yang baik dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Sarjan Ismail menerangkan bahawa Saga adalah akronim kepada Safety (Keselamatan) Achievement (Pencapaian) Greatness (Keunggulan) dan Ability (Kebolehan). Beliau mendapat idea untuk menghasilkan akronim ini ketika dia dan rakan-rakannya bermain permainan ‘Scrabble’ dan ternampak empat perkataan tersebut.

Iklan raya Proton 2023 – papar kisah berdasarkan Sarjan Ismail, pencipta nama ‘Saga’ pada 1984

Bukan sahaja nama berkenaan berasal dari akronim yang sangat bermakna, malah ‘Saga’ turut mempunyai maksud yang begitu baik – dalam bahasa melayu ia adalah nama biji keras berwarna merah dari pokok Saga (abrus precatorius) yang banyak terdapat di Malaysia, manakala dalam bahasa inggeris pula Saga bermaksud hikayat yang mengandungi kisah kesaktian dan kegagahan wira yang luar biasa.

Staf Sarjan Ismail Jaafar menerima sebuah Proton Saga sebagai hadiah kemenangannya itu setelah model berkenaan dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamed pada 1 September 1985.

Walau bagaimanapun, Saga tersebut terpaksa dijual oleh Sarjan Ismail bagi menampung perbelanjaan pengajian anak-anak serta membayar balik pinjaman perumahan – babak berkenaan turut dilakonkan semula dalam video raya Proton ini.

Sarjan Ismail telah meninggal dunia pada 12 Januari 2018 ketika berusia 71 tahun. Beliau sempat mengerjakan ibadah haji bersama isterinya pada tahun 2017 dan menghembuskan nafas terakhir dirumahnya sendiri yang terletak di Sungai Petani, Kedah dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Raudahtus Solihin Amanjaya. Sebelum meninggal dunia, allahyarham disahkan menghidap sakit jantung, sakit buah pinggang dan juga diabetis.

Iklan raya Proton 2023 – papar kisah berdasarkan Sarjan Ismail, pencipta nama ‘Saga’ pada 1984

Menurut balu Sarjan Ismail, Sariah Abdul Rahman, sebelum meninggal dunia juga Sarjan Ismail pernah berhasrat untuk menjejak semula Proton Saga yang diterimanya tersebut kerana amat menyayanginya. Malah anak bongsu mereka, Siti Sarismahaniza (meninggal dunia pada 2016) juga telah membelikan sebuah Proton Gen 2 dengan nombor plat yang sama kira-kira tujuh tahun sebelum itu untuk ayahnya.

Nama Saga terus digunakan oleh Proton untuk model sedan paling mampu milik yang sentiasa menghuni bilik pamerannya dari 1985 sehingga kini. Selepas model generasi pertama yang diasaskan dari Mitsubishi Lancer Fiore ditamatkan pengeluarannya pada 2008, ia digantikan pula dengan model generasi kedua, kali ini dihasilkan sepenuhnya oleh Proton dari casis hingga ke enjin.

Model generasi ketiga Proton Saga pula diperkenalkan pada 2016, dan ia sebenarnya masih diasaskan dari kerangka model sebelumnya tetapi diberikan kejuteraan semula bagi memberikan kualiti yang lebih baik. Versi facelift untuk model ini muncul pada 2019 menampilkan pelbagai penambah baikkan termasuk kotak gear CVT digantikan dengan transmisi 4AT yang dibekalkan oleh Hyundai.

Ia sekali lagi diberikan kemaskini pada tahun lalu menerusi Saga MC2, yang menerima perincian lebih baik seperti sistem ESC yang standard untuk semua varian, diberikan butang penghidup enjin untuk varian paling tinggi dan pelbagai lagi.

GALERI: Proton Saga generasi pertama (versi Megavalve)

GALERI: Proton Saga generasi kedua (versi FLX)

GALERI: Proton Saga 1.3L Premium AT 2019

GALERI: Proton Saga 1.3 Premium S AT 2022

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required