Saham Geely dalam Aston Martin meningkat kepada 17%, ketiga terbesar selepas Yew Tree dan PIF

Saham Geely dalam Aston Martin meningkat kepada 17%, ketiga terbesar selepas Yew Tree dan PIF

Bukan lagi menjadi rahsia bahawa syarikat automotif dari China, Geely kini sedang cuba untuk menguasai Aston Martin. Oktober tahun lalu, Geely menyatakan bahawa ia telahpun memegang sebanyak 7.6% kepentingan dalam jenama kereta sport British itu, dan terbaharu pegangan tersebut telah meningkat kepada sekitar 17%, lapor Motor1.

Ini membolehkan Geely menjadi pemegang saham ketiga terbesar dalam Aston Martin Logonda, naik dari tangga keempat sebelum ini dan memintas kedudukan Mercedes-Benz.

Buat masa sekarang, konsortium Yew Tree milik jutawan Kanada Lawrence Stroll masih pemegang saham terbesar syarikat itu, membolehkan Stroll kekal sebagai pengerusi Aston Martin. Ia diikuti oleh Public Investment Fund (PIF) milik Arab Saudi sebagai pemegang saham kedua terbesar.

“Geely boleh menawarkan kepada kami pemahaman mendalam tentang pasaran pertumbuhan strategik utama China serta peluang untuk mengakses rangkaian teknologi mereka,” kata Stroll dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Saham Geely dalam Aston Martin meningkat kepada 17%, ketiga terbesar selepas Yew Tree dan PIF

Bagi meningkatkan pegangan saham ini, Geely dilaporkan telah melabur sebanyak 234 juta pound sterling (RM1.3 bilion), Walau bagaimanapun, dalam perjanjian baharu yang telah dipersetujui Geely tidak dibenarkan untuk menaikkan pegangan sahamnya sehingga Ogos 2024.

Sebagai pemegang saham ketiga terbesar, Geely kini diberikan ruang oleh lembaga pengurusan Aston Martin untuk melantik pengarah bukan eksekutif ke dalam Lembaga Pengarah syarikat itu sebagai wakil pemegang saham. Selain itu, Geely turut akan melantik seorang lagi wakilnya yang akan bertugas sebagai pemerhati.

Motor1 turut memetik laporan dari Financial Times minggu lalu yang menyatakan bahawa CEO Geely Holding Group, Daniel Li Shufu berminat untuk mendapatkan pegangan dalam Aston Martin kerana beliau “sukakan jenama itu”, dan mahu mewujudkan sinergi.

Saham Geely dalam Aston Martin meningkat kepada 17%, ketiga terbesar selepas Yew Tree dan PIF

Geely merupakan pemilik kepada jenama Sweden, Volvo dan juga Polestar (yang kini sudah dikeluarkan dari Volvo untuk menjadi jenama kereta sport EV sendiri). Ia juga telah memwujudkan pelbagai jenama di bawahnya seperti Lynk & Co, Zeekr, Geometry, London Electric Vehicle Company, Radar Auto dan pelbagai lagi untuk mencakupi pelbagai segmen dalam pasaran.

Pada 2017, Geely telah memuktamadkan perjanjian rakan strategik asing dengan Proton, menyaksikan ia berjaya memegang saham sebanyak 49.9% dalam jenama automotif dari Malaysia itu. Melalui perjanjian itu juga, jenama kereta sport British iaitu Lotus yang sebelum itu merupakan milik Proton telah dilepaskan kepada Geely dengan pegangan saham sebanyak 51%.

Ketika pelancaran Proton X90 di Kuala Lumpur dua minggu lalu, Daniel Li turut hadir dan mengumumkan pelbagai perkembangan berkenaan kerjasama Proton dan Geely menerusi ucapannya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required