Susulan kes salah laku Daihatsu dalam ujian keselamatan terhadap model-model berasaskan platform DNGA sebelum ini melibatkan model-model termasuk Toyota Vios, Perodua Axia dan Toyota Yaris Cross, pakar penghasilan kereta kompak Jepun yang bernaung di bawah Toyota tersebut menjalankan siasatan dalaman lanjut berkenaan proses perolehan pensijilan R95 itu.
Siasatan itu kemudiannya telah menemui bahawa ada lagi salah laku dalam ujian telah dilakukan membabitkan kembar Toyota Raize Hybrid dan Daihatsu Rocky Hybrid. Kedua-dua model berkenaan didapati menjalani ujian UN R135 yang tidak sempurna.
Bagi ujian ini, kenderaan berkenaan perlu diuji dalam pelanggaran sisi dengan tiang pada kedua-dua sisi. Apa yang terjadi dalam ujian kali ini adalah Daihatsu hanya membuat ujian pelanggaran tersebut pada sebelah sisi penumpang. Ujian untuk sebelah sisi pemandu pula tidak dibuat, sebaliknya ia hanya menggunakan data dari keputusan pelanggaran bahagian penumpang untuk mendapatkan kelulusan ujian itu.
Sejumlah 78,440 kenderaan melibatkan 22,329 unit Rocky Hybrid dan 56,111 unit Raize Hybrid terlibat dalam insiden ini. Buat masa sekarang, jualan kedua-dua model berkenaan dihentikan sementara waktu di Jepun, dan langkah seterusnya yang akan diambil masih sedang dibincangkan.
Seperti yang disebut di atas, insiden kali ini hanya melibatkan model yang menerima unit rangkaian kuasa hybrid yang tidak dijual pada pasaran ASEAN. Namun pada September tahun lalu, Perodua ada menawarkan 300 unit Ativa Hybrid yang sebenarnya merupakan Rocky Hybrid JDM yang di bawa dari Jepun untuk satu program langganan khas untuk pelanggan terpilih.
Buat masa sekarang Perodua masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan status Ativa Hybrid berkenaan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.