Toyota Yaris Cross 2023 untuk ASEAN muncul di Indonesia – platform DNGA, kembar Perodua D66B?

Toyota Yaris Cross 2023 untuk ASEAN muncul di Indonesia – platform DNGA, kembar Perodua D66B?

Seperti yang kami laporkan tempoh hari, ini dia, Toyota Yaris Cross 2023 sudahpun membuat kemunculan sulungnya di Indonesia! Walau bagaimanapun untuk mengelakkan anda keliru, Yaris Cross yang muncul diperkenalkan ini bukanlah model sama seperti Yaris Cross yang kini sedang dijual di pasaran Jepun dan juga Eropah buat masa sekarang, tetapi ia adalah model yang dihasilkan khas untuk pasaran ASEAN.

Berbeza dengan Yaris Cross JDM/Eropah yang dibangunkan menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA), Yaris Cross untuk ASEAN ini diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA). Untuk lebih spesifik, ia adalah SUV Segmen-B yang menggunakan platform DNGA-B, iaitu varian yang sama digunakan kembar MPV Daihatsu Xenia/Toyota Avanza dan Veloz/Perodua Alza serta Toyota Vios.

Platform berkenaan memberikan Yaris Cross ini dimensi panjang 4,310 mm, lebar 1,770 mm, tinggi 1,615 mm dan juga jarak antara roda sejauh 2,620 mm. Toyota turut mengumumkan bahawa model ini mempunyai jarak kelegaan tanah setinggi 260 mm.

Untuk memudahkan anda membayangkan saiznya, Yaris Cross ini hanya 20 mm lebih pendek, 30 mm kurang lebar, 6 mm lebih rendah berbanding Proton X50, namun hadir dengan jarak roda 20 mm lebih jauh dari SUV segmen-B dari Proton berkenaan. Manakala berbanding dengan ‘adiknya’ iaitu Toyota Raize/Perodua Ativa, Yaris Cross ini adalah 245 mm lebih panjang, 60 mm lebih lebar, 20 mm lebih rendah, dan jarak roda 95 mm lebih jauh.

Toyota Yaris Cross 2023 untuk ASEAN muncul di Indonesia – platform DNGA, kembar Perodua D66B?

Dari segi rekaan, Yaris Cross ini seakan Corolla Cross dalam sekala lebih kecil. Pada bahagian muka, ia menerima gril seakan Corolla Cross tetapi diapit dengan lampu hadapan yang lebih nipis dan tajam, menampilkan jalur LED untuk lampu nyalaan siang bina dalam.

Pada bahagian sisi, cermin tingkap paling belakang menampilkan garis bawah yang ‘sikat’ ke atas, selari dengan rekaan sisi lampu belakang. Ia juga menerima rel bumbung dan juga panel overfender pada setiap ruang tayar seperti pada Corolla Cross.

Manakala di belakang, Yaris Cross nampak lebih sporty dari Corolla Cross dengan menampilkan rekaan lampu dan juga garis-garis yang lebih tajam.

Pada bahagian kabin, Yaris Cross ini menerima papan pemuka yang direka fokus kepada pemandu. Ia menampilkan skrin sesentuh besar bersaiz 10.1-inci di atas liang pendingin hawa bahagian tengah untuk sistem infotainmen. Ia juga diberikan paparan instrumen digital bersaiz tujuh-inci untuk pemandu.

Toyota Yaris Cross 2023 untuk ASEAN muncul di Indonesia – platform DNGA, kembar Perodua D66B?

Perincian lain yang turut diberikan termasuk panel-panel yang dibalut dengan material sentuhan lembut, ruang but yang mampu menampung sehingga empat bagasi besar, bumbung panaromik, lampu suasana kabin, sambungan dan juga pengecas telefon pintar tanpa wayar, tempat duduk larasan kuasa dan juga pintu tailgate elektrik.

Ia juga menerima sistem telematik Toyota T intouch, kamera pemantau pandangan panaromik, amaran lintasan trafik belakang dan juga sistem bantuan pemanduan termaju Toyota Safety Sense.

Toyota Yaris Cross ini ditawarkan dalam dua pilihan unit rangkaian kuasa iaitu versi petrol penuh dan juga versi hibrid petrol elektrik. Bagi model petrol sepenuhnya, ia dijana oleh enjin 2NR-VE 1.5 liter empat silinder berkuasa 106 PS dan tork maksima 138 Nm. Ini merupakan enjin yang sama boleh kita temui dalam perut Xenia/Avanaza/Velos/Alza, Perodua Myvi facelift serta Toyota Vios.

Bagi model hibrid elektrik pula, ia menggandingkan enjin petrol 2NR-VEX 1.5 liter empat silinder yang menghasilkan kuasa 91 PS dan tork maksima 121 Nm, bersama motor elektrik berkuasa 80 PS dan tork maksima 141 Nm. Kedua-dua versi ini hanya memacu roda hadapan menerusi kotak gear CVT automatik.

Toyota Yaris Cross 2023 untuk ASEAN muncul di Indonesia – platform DNGA, kembar Perodua D66B?

Toyota masih belum mengumumkan spesifikasi penuh untuk Yaris Cross dalam majlis pendedahan global ini. Ia dijangka akan diumumkan bersama harganya kelak apabila ia dilancarkan untuk dijual secara rasmi di sana tidak lama lagi. Adakah Yaris Cross ini akan turut ke Malaysia?

Toyota Yaris Cross pasaran ASEAN ini sebelum ini dilaporkan dibangunkan dengan kod projek D03B, dan ia dikhabarkan merupakan kembar kepada SUV yang sedang dibangunkan oleh Perodua dengan kod projek D66B. Jadi tidak mustahil ini merupakan model pertama dari Perodua yang menampilkan teknologi hibrid elektrik (Ativa hybrid yang diperkenalkan dalam program langganan sebelum ini merupakan Daihatsu Rocky sebenar dari Jepun yang diganti dengan logo Perodua).

Ia padan dengan beberapa petunjuk sebelum ini di mana D66B dilaporkan dibangunkan menggunakan asas platform DNGA-B dan akan dilancarkan pada tahun hadapan, manakala Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad mengesahkan bahawa model hibrid pertama Perodua akan dilancarkan pada 2024, dan ia adalah model baharu sepenuhnya, bukan varian atau facelift dari model-model sedia ada.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required