Perodua akan lancar SUV untuk cabar Proton X50 pada 2023? bermula RM73k, 1.5L NA, D-CVT, DNGA-B

Perodua akan lancar SUV untuk cabar Proton X50 pada 2023? bermula RM73k, 1.5L NA, D-CVT, DNGA-B

Ya, memang Perodua sudah pun menghasilkan SUV segmen-B iaitu Perodua Ativa buat masa sekarang. Namun Ativa cumalah SUV segmen-B entry level dengan saiz jauh lebih kecil berbanding model-model segmen-B penuh seperti Proton X50 dan juga Honda HR-V.

Namun nampaknya Perodua mungkin akan menghasilkan satu lagi SUV untuk dilancarkan pada tahun hadapan, dan ia adalah pencabar sebenar dalam pasaran SUV segmen-B. Ada khabar mengatakan bahawa Perodua telah pun menjemput sekumpulan orang awam untuk menjalankan tinjaun pasaran terhadap sebuah model yang belum lagi diberi nama.

Perincian untuk model berkenaan juga belum jelas, namun khabar mengatakan bahawa ia akan diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), secara spesifiknya adalah platform DNGA-B yang sama seperti Daihatsu Xenia, Toyota Avanza dan model generasi baharu Alza yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Platform DNGA-B ini sememangnya lebih besar dari platform DNGA-A yang digunakan oleh Perodua Ativa. Kami turut diberitahu bahawa SUV segmen-B baharu Perodua ini dihasilkan dengan dimensi 4,320 mm panjang, 1,770 mm lebar dan 1,685 tinggi. Tiada angka jarak roda dinyatakan, tetapi model baharu ini dikatakan mempunyai berat 1,283 kg.

Perodua akan lancar SUV untuk cabar Proton X50 pada 2023? bermula RM73k, 1.5L NA, D-CVT, DNGA-B

Sebagai perbandingan, Perodua Ativa mempunyai dimensi 4,220 mm panjang, 1,710 mm lebar dan 1,620 mm tinggi. Manakala Proton X50 pula dihasilkan dengan dimensi 4,330 panjang, 1,800 mm lebar, dan tinggi 1,609 mm.

Namun untuk unit rangkaian kuasa, SUV segmen-B yang lebih besar ini hanya menampilkan konfigurasi yang hampir sama seperti Myvi facelift 2022, iaitu enjin 2NR-VE 1.5 liter Dual VVT-i bersama kotak gear D-CVT bagi memacu roda hadapan. Walau bagaimanapun, enjin berkenaan akan diberikan talaan sedikit lebih berkuasa iaitu 106 PS (102 PS pada Myvi) dan tork maksima 137 Nm, sama seperti talaan yang diberikan pada Avanza generasi baharu yang telah pun dilancarkan di Indonesia.

Manakala untuk rupa, SUV baharu ini dikatakan akan menampilkan rupa seakan coupe, tetapi diberikan muka yang hampir sama dengan Ativa. Jadi untuk memudahkan anda membayangkan rupanya, pakar manipulasi automotif iaitu Theophilus Chin telah pun menghasilkan lakaran digital untuk SUV berkenaan.

Theo menggunakan asas Suzuki Vitara bagi menghasilkan lakaran digital yang anda lihat ini dengan memanjangkan sedikit jarak roda, meninggikan tiang-A dan juga memberikan set roda lebih besar untuk bentuk yang lebih baik. Kemudian badan atas untuk SUV yang dilakar tersebut diintegrasikan dengan badan atas Volvo XC60, serta diberikan ruang roda dan bumbung dari Corolla Cross.

Dan sudah tentu, Theo ‘mengahwinkan’ muka Ativa pada SUV lakarannya ini, manakala lampu belakang pula diambil dari Toyota Seqouia. Akhir sekali, logo-logo Perodua turut diletakkan pada tempat-tempat sepatutnya.

Model baharu ini dijangka bakal dijual pada harga bermula RM73,000 – lebih murah dari Proton X50 varian asas yang dijual pada harga bermula RM79,200. Dengan harga tersebut, ia dijangka akan diberikan sistem bantuan pemanduan ASA Perodua sama seperti Ativa dan Myvi, serta sistem infotainmen dengan skrin sesentuh sembilan inci serta sokongan Apple CarPlay.

Walau bagaimanapun, maklumat-maklumat yang kami terima ini masih diklasifikasikan sebagai khabar angin, sebelum Perodua mengeluarkan apa-apa makmlumat rasmi. Sebelum ini Perodua ada menyatakan bahawa mereka berupaya untuk melancarkan dua model facelift dan satu model serba baharu setiap tahun.

Untuk tahun ini Perodua sah bakal melancarkan model generasi baharu Alza, manakala untuk dua model facelift kami jangkakan adalah versi kemaskini untuk Aruz dan Axia. Manakala bagi model SUV segmen-B serba baharu ini mungkin akan dilancarkan pada tahun hadapan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required